Selasa, 24 March 2020 | 9:11pm
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (kanan) berkata malam tadi bahawa beliau dan ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersetuju dengan cadangan menangguhkan Olimpik Tokyo. - Foto AFP
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (kanan) berkata malam tadi bahawa beliau dan ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersetuju dengan cadangan menangguhkan Olimpik Tokyo. - Foto AFP

Jepun, IOC setuju Olimpik Tokyo 2020 ditangguh

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata malam tadi bahawa beliau dan ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersetuju dengan cadangan menangguhkan Olimpik Tokyo untuk kira-kira setahun.

Abe bercakap kepada wartawan selepas perbualan telefon dengan Presiden IOC, Thomas Bach mengenai hasrat menangguhkan temasya berkenaan di sebalik bertambahnya kebimbangan mengenai pandemik coronavirus (COVID-19).

“Kami meminta Presiden Bach untuk memikirkan penangguhan untuk kira-kira setahun bagi menjadikan ia temasya yang boleh disertai atlet dan bersaing pada tahap terbaik mereka dan menjadikan acara itu selamat serta tidak membahayakan penonton,” kata Abe.

“Presiden Bach berkata beliau juga bersetuju 100 peratus.”

Tokyo sudah melengkapkan persiapan apabila virus berkenaan mula menular di seluruh dunia.

Walaupun menegaskan selama hampir sebulan bahawa temasya itu akan terus berlangsung seperti dirancang, Abe minggu ini berkata penangguhan mungkin tidak dapat dielakkan jika acara itu tidak dapat dilangsungkan dengan sempurna.

Gabenor Tokyo, Yuriko Koike secara berasingan memberitahu wartawan bahawa temasya itu, akan dilangsungkan pada musim panas 2021 dan akan dijenamakan sebagai “Tokyo 2020.” - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X