Rabu, 25 March 2020 | 8:34pm
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada Polis Kontinjen Selangor yang diwakili Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada Polis Kontinjen Selangor yang diwakili Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

'Impian kita belum berakhir'

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mahu atlet para negara memanfaatkan sebaiknya tempoh penangguhan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 untuk meningkatkan prestasi masing-masing menjelang temasya sukan itu tahun depan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin optimis temasya sukan terbesar dunia bagi atlet para itu akan kembali dengan lebih hebat dan menarik.

“Kepada atlet kebangsaan yang sudah melayakkan diri ataupun masih memburu tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, walaupun perit berdepan tempoh sukar ini, harus diingat impian kita masih belum berakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Megat D Shahriman juga menegaskan pendirian MPM untuk akur dan menyokong penuh sebarang keputusan yang dibuat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menangguhkan Sukan Paralimpik 2020 Tokyo kepada tahun 2021 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada masa kini.

Keputusan penangguhan itu mendapat sokongan dan persetujuan bersama Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang turut menyertai Mesyuarat Lembaga Eksekutif IOC.

“Menangguhkan temasya ini susulan penularan wabak global ini adalah satu tindakan yang tepat dibuat Presiden IPC, Andrew Parsons bersama IOC dan kerajaan Jepun.

“Kami di MPM senada dengan IPC bahawa keselamatan dan kesejahteraan atlet mahupun pegawai sentiasa menjadi keutamaan selain menganggap ia tidak sesuai untuk meneruskan temasya sukan terbesar itu semasa dunia sedang berdepan krisis pandemik,” katanya.

Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada awalnya dijadual dari 25 Ogos hingga 6 September ini, namun ditunda ke satu tarikh baharu pada musim panas 2021 sebagai langkah terbaik bagi membendung penularan COVID-19.

Pada masa sama, Megat D Shahriman turut mengingatkan atlet para negara untuk sentiasa menjaga kesihatan dan patuh kepada arahan kerajaan Malaysia untuk berada di rumah sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada 14 April ini. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X