Khamis, 26 March 2020 | 4:23pm
Mun Yee akui pelajarannya terpaksa ditangguhkan susulan penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Mun Yee akui pelajarannya terpaksa ditangguhkan susulan penundaan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tangguh kahwin demi Olimpik

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Leong Mun Yee jelas terkena beberapa ‘tempias’ selepas temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 terpaksa ditangguhkan susulan penularan COVID-19.

Atlet berusia 35 tahun itu yang akan turun bertanding buat kali kelima pada temasya berprestij itu bukan setakat perlu menunggu untuk ‘terjun kolam’, namun dia perlu turut melupakan sejenak impiannya melangsungkan perkahwinan.

Sebelum ini, Mun Yee yang lebih mesra disapa Angela memberi bayangan Tokyo 2020 bakal menjadi medan terakhirnya sebelum dia bersara dan mula memikirkan fasa seterusnya dalam hidup khususnya mengenai perkahwinan.

Bagaimanapun, dia tetap lega dengan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan tuan rumah, Jepun yang membuat keputusan itu sekalipun keputusan berkenaan memberi impak kepada kariernya.

“Ya, bukan sahaja perkara itu (perkahwinan) perlu ditangguhkan namun banyak juga perkara lain yang berkaitan contohnya pelajaran saya juga terpaksa ditangguhkan.

“Tetapi berdasarkan situasi semasa yang dihadapi dunia ketika ini, saya fikir ini satu keputusan yang tepat kerana keselamatan dan kesihatan seharusnya menjadi keutamaan kepada semua.

“Apapun, sasaran saya tetap sama dan saya akan terus bekerja keras,” katanya.

Mengulas lanjut penampilan kelimanya pada temasya terbesar dunia itu, pemenang 17 pingat emas Sukan SEA itu mengakui usia yang bakal menginjak 36 tahun pada 2021 sama sekali tidak menjadi masalah meskipun bakal berdepan cabaran atlet jauh lebih muda.

“Apa yang penting bagi saya adalah kecergasan perlu sentiasa berada pada tahap terbaik dan walaupun tiada latihan ketika ini, saya tetap bersenam dan melakukan yoga di rumah.

“Bagi tempoh dua tahun ini, saya rasa saya berada pada tahap yang baik dan semoga tiada apa apa kecederaan dialami menjelang Olimpik nanti,” katanya.

Mun Yee layak beraksi di Tokyo 2020 selepas dia bersama Pandelela Riong meraih pingat perak dalam acara 10 meter terjun seirama di Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, Julai lalu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X