Khamis, 26 March 2020 | 6:37pm
Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy berlatih secara manual di pekarangan rumahnya memandangkan tiada latihan dibenarkan susulan penularan COVID-19. Gambar - Khairulnizam Mohd Afendy
Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy berlatih secara manual di pekarangan rumahnya memandangkan tiada latihan dibenarkan susulan penularan COVID-19. Gambar - Khairulnizam Mohd Afendy

Khairulnizam 'belayar' di daratan

KUALA LUMPUR: Penularan COVID-19 yang menyebabkan semua aktiviti sukan termasuk sesi latihan dihentikan seketika, memaksa atlet tampil lebih kreatif menjalani latihan masing-masing.

Tidak terkecuali atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy yang tetap belayar di atas ‘daratan’ sekalipun tidak dapat menjalani latihan secara sempurna kerana wabak COVID-19 sedang melanda negara.

Atlet pertama mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mendedahkan dia membina platform daripada kayu dan beberapa tali diikat untuk membolehkan dia menjalani latihan bagi mengekalkan kecergasan dan imbangan badan.

“Saya mahu mendapatkan rentak belayar di laut walaupun berlatih di atas darat kerana sebagai atlet pelayaran, kita senang hilang rentak kalau tidak turun berlatih dua minggu.

“Jadi, ini alternatif yang saya lakukan selepas tidak dapat berlatih di luar. Memang jauh berbeza jika hendak dibandingkan apabila berlatih sebegini tetapi setidak-tidaknya, ini memberi ruang saya terus menjalani latihan.

“Fokus utama saya sudah tentulah mendapatkan kecergasan dan selain itu, ia bagi memastikan saya dapat terus mengekalkan rentak apabila boleh kembali berlatih di luar nanti,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung penangguhan Sukan Olimpik 2020 ke tahun hadapan susulan penularan COVID-19, atlet berusia 26 tahun itu mengakui ia adalah satu keputusan yang sangat wajar diambil Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan tuan rumah, Jepun.

“Kalau kita melihat keadaan semasa, memang ia tidak begitu baik dan selamat buat atlet apatah lagi kita tidak dapat melakukan persediaan dengan lengkap untuk bertanding di temasya besar itu.

“Jadi, penangguhan ini memang tepat di mana apabila temasya dianjurkan pada tarikh baharu nanti, kita boleh melakukan persiapan lebih baik secara mental dan fizikal sekali gus dapat lebih yakin untuk kita beraksi 100 peratus,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X