Khamis, 26 March 2020 | 10:01pm
Farah Ann terpaksa tunggu untuk penuhi impiannya beraksi di pentas Olimpik.
Farah Ann terpaksa tunggu untuk penuhi impiannya beraksi di pentas Olimpik.

Farah Ann kecewa impian Olimpik tertangguh

KUALA LUMPUR: Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi perkhabaran mengecewakan buat ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, yang menyimpan impian beraksi di temasya itu sejak berusia lapan tahun.

Bagaimanapun, gimnas berusia 25 tahun itu tetap akur dengan penangguhan temasya itu sehingga 2021 susulan penularan wabak COVID-19, dan mengakui kebajikan atlet dan seluruh dunia harus keutamaan buat masa ini.

“Memandangkan apa yang berlaku sekarang, ia keputusan yang betul demi kebajikan semua. Langkah ini perlu diambil untuk memastikan kita semua selamat dan sihat.

“Ia baik apabila keputusan sudah dibuat dan kita boleh memberi tumpuan secara fizikal dan mental menghadapi temasya itu pada garis masa yang baharu,” katanya.

Tokyo 2020 menjadi keutamaan buat gimnas terbabit yang bakal membuat penampilan sulung di temasya itu, selepas gagal berbuat demikian pada edisi 2016 di Rio de Janerio, Brazil.

Walau kurang berpuas hati dengan keadaan semasa yang menjejaskan program latihannya, Farah Ann bagaimanapun mengakui ia secara tidak langsung menjadi pembakar semangat mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya terbesar dunia itu kelak.

“Saya sedikit kecewa pada awalnya kerana sepanjang tahun ini dirancang untuk Sukan Olimpik yang akan berlangsung pada Julai, yang kemudian menjadi tanda tanya sama ada ditangguhkan atau dibatalkan.

“Dengan keputusan terbaru yang dicapai, saya akan bekerja lebih keras dan melakukan persiapan lebih baik untuk temasya pada 2021 nanti,” katanya.

Farah Ann meraih slot ke Olimpik Tokyo 2020 apabila mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik di Stuttgart, Jerman selepas mengutip 49,898 mata pada pusingan kelayakan, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun gimnas negara layak ke pentas Olimpik.

Temasya Sukan Olimpik 2020 dijadual berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos sebelum kerajaan Jepun dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mencapai kata sepakat untuk menangguhkannya sehingga tahun depan, ekoran penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X