Jumaat, 27 March 2020 | 3:09pm
JURULATIH negara, Marzuki Zakaria. - Foto Aziah Azmee
JURULATIH negara, Marzuki Zakaria. - Foto Aziah Azmee

Guna tali getah ganti panah

KUALA LUMPUR: Skuad memanah para negara mengambil alternatif menggunakan theraband atau tali getah menggantikan panah dan busur bagi latihan di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Jurulatih negara, Marzuki Zakaria menjelaskan penggunaan theraband itu adalah latihan bebanan bertujuan mendapatkan keselesaan dan kedudukan badan yang betul untuk melakukan panahan serta mengelak kecederaan pada otot ketika mengendalikan panah dan busur.

“Saya tidak galakkan mereka guna panah dan busur di kawasan rumah, bahaya. Jadi gunakan theraband sebagai ganti untuk tengok kekuatan mereka serta cara mereka pegang panah.

“Mereka perlu berdiri di hadapan cermin ketika menggunakan theraband, dari situ saya akan beritahu apa perlu diperbaiki,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Selain latihan menggunakan theraband, atlet memanah para juga diminta untuk membuat senaman fizikal serta latihan bagi kekuatan mental dan psikologi mengikut garis panduan yang disediakan Institut Sukan Negara (ISN), katanya.

Sehingga kini, hanya dua pemanah para negara layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 iaitu atlet memanah recurve, S Suresh serta atlet pemanah compound, Wiro Julin.

Namun, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia memaksa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menangguhkan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ke tahun depan. Keputusan itu turut mendapat sokongan dan persetujuan bersama Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Mengulas lanjut, Marzuki berkata anak didiknya menerima keputusan penangguhan berkenaan secara positif kerana sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku ekoran perkembangan terkini COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Macam manapun keadaannya, atlet perlu fokus, kena bersedia terhadap semua kemungkinan. Latihan masih diteruskan, yang sudah layak teruskan perbaiki teknik mereka dan yang masih mencari tiket kelayakan, perlu lebih fokus mendapatkan tempat.

“Walaupun kelayakan terakhir di Republik Czech pada Jun ini mungkin dilanjutkan, bagi kami ia satu kelebihan bagi semua atlet untuk layak ke Tokyo,” katanya.

Jelasnya penularan wabak COVID-19 sedikit merencatkan persediaan atlet terutama bagi mereka yang sudah layak ke Tokyo kerana kekurangan penyertaan kejohanan tempatan dan luar negara. – BERNAMA

Berita Harian X