Selasa, 31 March 2020 | 2:28pm
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Aizuddin Saad
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Aizuddin Saad

Atlet lega tarikh baharu Olimpik

KUALA LUMPUR: Pengumuman tarikh baharu penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 memberi kelegaan kepada komuniti sukan terutama golongan atlet yang sedikit terjejas dari segi mental kerana ketidakpastian susulan pandemik COVID-19.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Malaysia amat berpuas hati tarikh baharu temasya itu diketahui lebih awal daripada yang dijangkakan.

“MOM menyokong sepenuhnya keputusan untuk menganjurkan Sukan Olimpik Tokyo pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021. Penangguhan 12 bulan bukan sahaja memberi peluang untuk kita memerangi COVID-19 dan memastikan keselamatan semua, tapi memberi masa yang mencukupi kepada atlet untuk bermula dan kembali kepada kemuncak prestasi mereka.

“Kami akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Persekutuan Antarabangsa untuk memastikan temasya ini berlangsung dengan adil khususnya membabitkan proses kelayakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

IOC memutuskan temasya Olimpik Tokyo akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan, iaitu tepat setahun dari tarikh asal yang dijadualkan pada 24 Julai tahun ini.

Ia diikuti Sukan Paralimpik dari 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Tarikh baharu itu dipersetujui oleh IOC, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan kerajaan Jepun selepas satu telesidang pada Isnin.

Mohamad Norza berkata MOM akan terus menjalinkan kerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), atlet dan semua pihak berkepentingan untuk memastikan persiapan semua atlet berada di landasan yang betul untuk membawa pulang pingat emas pertama Olimpik buat Malaysia.

“Kami mengalu-alukan temasya 2021 dan saya yakin janji Tokyo 2020 dapat dilaksanakan. Saya tidak ragu sebagai satu pasukan, kami akan berjaya mengatasi kesukaran dan semua akan lebih baik disebabkan itu,” katanya. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X