Selasa, 31 March 2020 | 2:36pm
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - Foto BERNAMA

Peluang maksimum layak ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Tarikh baharu Sukan Olimpik Tokyo yang diubah kepada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 dilihat bakal memberi masa maksimum buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memastikan jangkaan 35 atlet ke temasya berkenaan menjadi realiti.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan, pada masa ini, Malaysia sudah mempunyai 12 atlet yang sudah melayakkan diri dan selebihnya masih dalam proses kelayakan dengan kontinjen negara ke Jepun mendambakan emas sulung dapat dicetuskan pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang.

Begitupun dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, Reezal turut berkata pihaknya bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sedang meneliti beberapa program yang perlu dirombak semula bagi memastikan kesiapsiagaan atlet terus berada di tahap tertinggi.

"Kita ada dengar semalam (kelmarin), penangguhan Sukan Olimpik oleh IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) kepada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021. Ini bererti setahun daripada sekarang," kata Reezal dalam satu temubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di RTM, pagi tadi.

"Kalau daripada perkiraannya, memanglah ada kesan kerana ramai di kalangan atlet kita - daripada yang dikenalpasti oleh KBS dengan MOM, MSN bersama persatuan sukan kebangsaan - terdapat 35 atlet yang sudah dikenalpasti mampu dan mempunyai keupayaan ke Sukan Olimpik ini.

"Daripada jumlah itu, 12 daripadanya sudah melayakkan diri, jadi tentunya ada pengubahsuaian daripada segi latihan. Kita sudah memulakan latihan kendiri dipanggil 'active rest' yang mereka mempunyai hubungan secara langsung dengan jurulatih dan pakar ISN (Insitut Sukan Negara).

“Ini bagi memastikan tahap kecergasan mereka masih berada dalam keadaan baik dan ia memberi masa yang lebih panjang untuk memastikan persiapan yang lebih rapi daripada apa yang diperolehi.

"Malah, kepada mereka yang masih mempunyai ruang untuk memastikan kelayakan, maka mereka mempunyai masa sekarang. MSN dan MOM sedang meneliti program untuk dirombak semula dan dilihat bagi memastikan jangkaan kita 35 dapat layak ke Sukan Olimpik menjadi realiti dan paling penting, kita mendambakan Sukan Olimpik kali ini, emas yang pertama... emas yang dikatakan daripada Azizulhasni Awang.

"Beliau berada dalam tahap kesiapsiagaan dan kecergasan yang cukup tinggi. Harap dalam tempoh yang dilanjutkan ini, mungkin persiapan yang lebih rapi (dapat dilakukan) dan akhirnya rakyat Malaysia yang selama mengidamkannya (emas pertama) menjadi realiti.”

Kelmarin, IOC mengumumkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditangguhkan minggu lalu susulan penularan COVID-19 akan dilangsungkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 manakala Sukan Paralimpik berlangsung pada 24 Ogos hingga 5 September tahun depan.

Tarikh itu dipersetujui selepas sidang video antara Presiden IOC, Thomas Bach dengan Presiden Tokyo 2020, Mori Yoshiro.

Berita Harian X