Isnin, 20 April 2020 | 2:02pm
MEGAT berkata atlet para tetap jalani latihan semasa PKP dan dipantau jurulatih masing-masing menerusi dalam talian.
MEGAT berkata atlet para tetap jalani latihan semasa PKP dan dipantau jurulatih masing-masing menerusi dalam talian.

MPM tak lepas tangan

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sama sekali tidak akan ‘lepas tangan’ dalam membantu atlet para negara untuk terus menjalani latihan seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, buat masa ini atlet para tetap menjalani latihan bagi mengekalkan tahap kecergasan dan mereka dipantau jurulatih masing-masing menerusi dalam talian.

Begitupun, kemungkinan terdapat kekangan bagi segelintir atlet para untuk melakukan latihan di rumah selain ada antaranya memerlukan peralatan khas bagi menyokong latihan mereka.

Bagaimanapun katanya, pihak Majlis Sukan Negara (MSN), turut melakukan ‘peninjauan’ hasil kerja menerusi dalam talian bagi mendapatkan maklum balas berkenaan status atlet dan keperluan mereka ketika melakukan latihan.

“Memang terdapat atlet yang memerlukan peralatan dan sebagaimana dimaklumkan Ketua Pengarah MSN baru-baru ini, beliau sudah mengesahkan yang mereka sedang berusaha secara berperingkat untuk menghantar peralatan ke rumah setiap atlet termasuk atlet para.

“Ini tidak bermakna kami di MPM lepas tangan, kami juga akan cuba sedaya upaya membantu dan berurusan dengan MSN untuk memastikan atlet dapat meneruskan latihan tanpa sebarang alasan,” kata Megat.

Megat dalam pada itu turut menyatakan, penundaan Sukan Para ASEAN Filipina yang ditetapkan kepada 3 hingga 9 Oktober 2020 disifatkan sebagai merugikan bagi atlet negara.

“Tarikh baharu Sukan Para ASEAN ditetapkan kepada 3 hingga 9 Oktober 2020, dengan Konfederasi Sukan Para ASEAN (APSF) meletakkan syarat keadaan pandemik COVID-19 perlu kembali terkawal dan tidak membawa ancaman kepada kontinjen daripada semua 10 negara ASEAN dan Timor Leste.

“Keputusan ini dicapai sebulat suara semua negara dan mendapat persetujuan badan APSF pada 16 Mac lalu hanya dua hari sebelum pelaksanaan PKP selepas temasya itu terpaksa ditangguhkan dua kali sebelum ini dengan pelbagai alasan diberikan tuan rumah Filipina, walhal sebenarnya mereka berdepan masalah kewangan.

“Suka untuk saya tekankan bahawa penangguhan Sukan Para ASEAN ini sebenarnya sesuatu yang merugikan untuk atlet kita.

“Latihan sudah dirancang sejak dari awal untuk atlet mencapai kemuncak sejurus bermulanya Sukan Para ASEAN, tetapi dengan penangguhan ini selain isu COVID-19 mungkin menyaksikan kita perlu menanggung kerugian untuk mempersiapkan atlet dalam keadaan terbaik.

“Walaupun belum ada jaminan untuk mereka mencapai kemuncak tetapi ia memerlukan pelan jangka pendek dan panjang yang ideal dan betul untuk merealisasikannya,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X