Jumaat, 15 September 2017 | 4:03pm
PELUMBA Malaysia, Zulfahmi Khairuddin tidak lagi ditaja SIC selepas lapan tahun mendapat sokongan penuh. - Foto Osman Adnan

Jodoh Zulfahmi - SIC tidak kekal

Oleh Saiful Affendy Sapran

[email protected]

KUALA LUMPUR: Selepas lapan tahun mendapat sokongan penuh daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC), jodoh Zulfahmi Khairuddin bersama SIC akhirnya akan dinoktahkan mulai tahun depan.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya tidak lagi akan menjadi penaja utama kepada Zulfahmi, yang kini beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kategori Superport bersama pasukan Orelac Racing.

Tegas Razlan, sudah tiba masanya untuk SIC menarik diri daripada menjadi penaja utama kepada pelumba kelahiran Banting, Selangor itu yang dilihat mengalami penurunan prestasi.

"Secara peribadi memang saya rasa sedih, tapi apa yang boleh kita lakukan.

"Selama lapan tahun kami menjadi penaja kepada Zulfahmi, saya lihat kariernya semakin menurun.

"Walaupun sepanjang tahun ini antara halangan utamanya adalah masalah jentera, tetapi apabila dia memperoleh pakej yang lengkap dan baik, dia masih gagal meraih keputusan yang memberangsangkan," katanya.

Jadi, tegas Razlan, tidak mungkin untuk SIC terus menjadi penaja kepada Zulfahmi pada musim depan, tambahan pula bajet sedia ada akan digunakan untuk membentuk pasukan SIC Racing Team di saingan Moto2.

"Memang kami tidak boleh teruskan kerjasama dengan menajanya, dan tiada perancangan untuk Zulfahmi musim depan," katanya.

Zulfahmi meraih pencapaian tidak menentu sepanjang lapan tahun SIC menajanya sejak 2009.

Antara pencapaian terbaiknya adalah pada musim 2012 ketika beraksi bersama bersama AirAsia SIC-Ajo di saingan Moto3, yang menyaksikannya menamatkan saingan musim itu tempat ketujuh kedudukan pelumba.

Musim itu juga menyaksikannya meraih petak pertama pada pusingan di Sepang serta menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Zulfahmi sekali lagi meraih pencapaian membanggakan dengan menaiki podium kedua ketika beraksi di WSBK pada pusingan di Sepang tahun lalu.

ends

Berita Harian X