Khamis, 26 Oktober 2017 | 10:18pm
PELUMBA wild card Moto3 negara, Kasma Daniel Kasmayudin bertekad untuk memberikan segala-galanya di Litar Antarabangsa Sepang minggu ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
PELUMBA wild card Moto3 negara, Kasma Daniel Kasmayudin bertekad untuk memberikan segala-galanya di Litar Antarabangsa Sepang minggu ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kasma jadikan GP Malaysia batu loncatan

SEPANG: Penunggang tunggal wildcard Moto3 negara, Kasma Daniel Kasmayudin mengakui tidak memiliki 'ilmu' yang mencukupi untuk menggegar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu ini tetapi bertekad untuk memberikan segala-galanya di pentas berprestij berkenaan.

Tampil mengakui kehadirannya di SIC untuk mencari pengalaman, pelumba muda berusia 17 tahun itu berkata, ia tidak bermakna cabaran yang akan dikibarkannya lesu tetapi sebaliknya memberinya banyak pengalaman dan pelajaran berharga terutama bagi perkembangan kariernya.

"Saya amat bersyukur dengan slot wildcard yang diberikan di Sepang bagi perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3," kata Kasma. "Justeru, sudah pasti akan memberikan yang terbaik dan cuba untuk belajar sebanyak yang mungkin.

"Saya mempunyai pengalaman yang amat sedikit di SIC dan tidak pernah menunggang jentera Moto3 di sini. Tapi saya berada di sini untuk berlumba dan memberikan segala-galanya."

Kasma yang ketika ini berlumba di Kejuaraan CEV Eropah dalam kelas Moto3 begitupun mengakui dia memerlukan bantuan pelumba Malaysia yang beraksi di kejuaraan berkenaan untuk mendapatkan keputusan baik.

"Saya juga perlu belajar daripada pelumba negara. Tapi saya yakin, pasukan saya akan memberikan yang terbaik.

"Jelas keseluruhan minggu ini akan memberikan saya cabaran dan pengalaman baharu," katanya yang turut beraksi dalam perlumbaan Cub Prix tahun ini dan sedang memimpin kejuaraan berkenaan.

Kasma diserapkan dalam program pembangunan bakat PETRONAS susulan kemampuannya menggegar perlumbaan Cub Prix termasuk menjadi pelumba termuda memenangi kategori elit kejuaraan tempatan itu tahun lalu.

Dengan kehadiran Kasma, negara akan memiliki empat wakil beraksi di GP Malaysia iaitu dua dalam kelas Moto2 iaitu Hafizh Syahrin Abdullah dan Khairul Idham Pawi serta Adam Norrodin dalam kategori Moto3.

Berita Harian X