Ahad, 29 Oktober 2017 | 9:35pm
ANDREA Dovizioso (kanan) dari pasukanDucati mendahului pelumba Sepanyol, Marc Marquez pada perlumbaan MotoGP di Litar Sepang. - Foto EPA-EFE

Marquez tak tertekan: Dovizioso

SEPANG: Marc Marquez bukan saja memiliki kelebihan berdasarkan jumlah pungutan mata menuju pusingan terakhir MotoGP di Valencia, Sepanyol tetapi turut diperkuatkan dengan kemampuan jentera Repsol Honda yang sentiasa kompetitif di sana, menurut Andrea Dovizioso.

Susulan kemenangan Dovizioso yang juga penunggang Ducati di Sepang hari ini, Marquez terpaksa menunggu hingga pusingan terakhir bulan depan bagi penentuan kejuaraan dunia dengan kelebihannya dicantas kepada 21 mata berbanding 33 sebelum ke Malaysia.

Ketika ditanya sama ada pelumba Sepanyol itu tertekan menjelang perlumbaan di Litar Ricardo Tormo, 12 November ini pelumba Itali itu menafikannya tetapi pasukannya akan tetap bersaing bermati-matian.

"Saya tidak fikir dia (Marquez) tertekan kerana selepas minggu yang pelik dan sukar (Malaysia), dia menamatkan perlumbaan di tangga keempat, seperti banyak kali dilakukannya musim ini," kata Dovizioso.

"Dia mengharungi musim yang baik dan ketika dia mengharungi yang sukar, dia tetap mendapat posisi yang baik dan kerana itu dia berada di tempat pertama dalam kejuaraan.

"Untuk pergi Valencia, ia litar yang baik untuknya. Tapi saya rasa kami juga boleh kompetitif tapi dengan jurang 21 mata, sesuatu perlu berlaku antaranya kemalangan," katanya.

Rakan sepasukan Dovizioso, Jorge Lorenzo yang meraih tempat kedua di Malaysia adalah pemenang dua kali kejuaraan di Valencia termasuk tahun lalu dan 2015.

Lebih menyukarkan Dovizioso, kali terakhir Ducati menang di Valencia adalah pada 2008 dengan Honda memenanginya sebanyak lapan kali pada 2002, 2003, 2005, 2007, 2009, 2011, 2012 dan 2014.

"Apa yang kami boleh lakukan adalah buat seperti apa yang kami lakukan ketika ini. Kami mengharungi pusingan yang sempurna tapi ia tidak mudah cuma saya gembira membuktikan kami boleh kompetitif di litar sukar," kata Dovizioso.

"Di Valencia, saya jangkakan Marc akan kompetitif sejak awal jadi ia sukar tapi apa yang boleh kami buat adalah melakukannya dengan cara yang sama seperti di sini." Marquez ketika ini mengumpul 282 mata manakala Dovizioso di tangga kedua dengan 261 mata.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X