Sabtu, 4 November 2017 | 1:56pm
PETRONAS Sprinta Racing sebelum ini mengumumkan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin bakal beraksi bersama pasukan itu. - Foto Osman Adnan

Belum muktamad guna nama PETRONAS Sprinta Racing

KUALA LUMPUR: Penggunaan nama PETRONAS Sprinta Racing bagi pasukan negara yang beraksi dalam dua kategori, di perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tahun depan, belum lagi dimuktamadkan.

Pasukan yang beraksi dalam kelas Moto2 dan Moto3 musim 2018 itu dibentuk hasil kerjasama antara PETRONAS serta Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tetapi ketiadaan SIC dalam nama pasukan itu tampak sedikit 'janggal.'

Mengulas lanjut perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya masih berbincang mengenai perkara berkenaan sebelum ia dimuktamadkan pada awal tahun depan.

"Penggunaan nama pasukan sebenarnya masih dalam perbincangan, kerana ketika pengumuman itu dibuat, kita memiliki tempoh masa yang amat singkat," kata Razlan.

"Ia sebenarnya adalah untuk mengumumkan kerjasama antara PETRONAS dengan SIC bagi pasukan kita yang beraksi dalam kelas Moto3 dan Moto2.

"Perinciannya masih lagi dibincangkan dan kita berharap ia dapat diselesaikan sebelum kita melancarkan pasukan secara rasmi pada Februari tahun depan, ketika ujian rasmi musim sejuk.

"Ketika itu barulah kita umumkan nama pasukan dan menjenama semula pasukan. Saya sebenarnya sudah berbincang semula dengan PETRONAS, tetapi ketika itu saya mungkin terlalu teruja kerana persetujuan syarikat itu untuk bekerjasama dengan kami.

"Saya sudah terangkan kebimbangan ini kepada mereka dan mereka juga bersetuju untuk menimbangnya semula," katanya.

Penggunaan nama PETRONAS Sprinta Racing sebelum ini diumumkan oleh Naib Presiden Pemasaran Urusniaga Hiliran PETRONAS, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, bulan lalu.

Selain ketiadaan nama 'SIC' dalam pasukan, PETRONAS Sprinta Racing sebenarnya sinonim dengan pasukan yang beraksi di kancah perlumbaan tempatan iaitu Cub Prix.

PETRONAS Sprinta Racing sebelum ini mengumumkan tiga pelumba bakal beraksi bersama pasukan itu bagi tahun depan iaitu Hafizh Syahrin Abdullah (Moto2) dan Adam Norrodin serta Ayumu Sasaki bagi saingan Moto3.

Hafizh sebelum ini beraksi bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia manakala pasukan Moto3 negara dikenali SIC Racing Team.

Berita Harian X