Selasa, 28 November 2017 | 9:26am
ROBERT Kubica menjadi pilihan utama Williams menggantikan Felipe Massa yang bakal bersara. - Foto AFP

Kubica calon utama ganti Massa

LONDON: Williams berharap Robert Kubica dapat beraksi dengan baik pada sesi ujian di Abu Dhabi minggu ini dalam usaha pemandu Poland itu untuk semakin hampir kembali beraksi di saingan Formula Satu (F1) bersama pasukan bekas juara dunia itu.

Selepas saingan F1 berakhir di Abu Dhabi, Ahad lalu, tumpuan kini terarah kepada ujian tayar di Litar Yas Marina bermula hari ini dan esok serta pemilihan pemandu bagi saingan musim 2018.

Williams dilihat paling aktif dengan pemandu veteran dari Brazil, Felipe Massa bakal bersara dan Kubica yang terpaksa meninggalkan pasukan itu pada tahun 2011 selepas mengalami kecederaan teruk di lengan kanan dan tidak beraksi di F1 selama tujuh tahun, dilihat pilihan utama menggantikan tempat Massa.

Pemandu berusia 32 tahun itu akan memandu jentera Williams selama dua hari dengan tumpuan lebih kepada penilaian tayar Pirelli untuk musim 2018.

"Proses penilaian ini berterusan," Kata ketua prestasi kejuruteraan Williams, Rob Smedley.

"Kami akan terus melakukannya pada minggu ini. Tiada sebab untuk kami terlalu tergesa-gesa.

"Kami mempunyai kekosongan untuk satu tempat duduk, jadi kami perlu melakukan penilaian sebaik-baiknya. Kami masih boleh menunggu dan melakukan penilaian dalam setiap aspek," katanya.

Smedley mengesahkan Kubica yang sudah menjalani ujian bersama Williams, Oktober tahun lalu, akan melepasi ujian perubatan daripada FIA dan memperoleh kembali lesen super.

"Itu adalah antara penilaian kami terhadapnya. Bukan saja melihat berapakah masa sepusingan yang mampu dilakukannya di Abu Dhabi tetapi juga perkara membabitkan di luar litar. Saya berharap kami akan dpat membuat keputusan pada perayaan Krismas nanti," katanya. - REUTERS

Berita Harian X