Ahad, 17 Disember 2017 | 6:59pm
KETUA Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (kanan) berharap SIC mendapatkan tempat buat Hafizh Syahrin Abdullah dalam pasukan Jepun dalam saingan MotoGP pada 2019. - Foto Osman Adnan

Formula SIC bantu Hafizh berlumba dalam MotoGP

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berharap mendapatkan tempat buat Hafizh Syahrin Abdullah dalam pasukan Jepun bagi membolehkan pelumba sensasi negara itu membuat langkah besar berlumba dalam saingan MotoGP pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, berkata ia jalan penyelesaian paling praktikal buat kedua-dua pasukan dan SIC.

"Sebenarnya, kami boleh mengira jumlah pasukan MotoGP yang berpotensi untuk Hafizh sertai pada 2019," kata Razlan.

"HRC Honda dan pasukan LCR Honda, kedua-duanya sudah memiliki pelumba masing-masing sehingga 2019 dan begitu juga pasukan Yamaha dan Yamaha Tech 3.

"Saya boleh katakan Suzuki (Pasukan Suzuki Ecstar) dan pasukan Itali (Ducati dan Octo Pramac) antara dua atau tiga pasukan yang boleh kita pertimbangkan.

"Namun, saya lebih suka bekerja dengan pasukan Jepun atas beberapa sebab, antaranya kita boleh mengkomersilkan beberapa perkara untuk pasukan di Malaysia."

Hafizh akan beraksi dengan pasukan baharu PETRONAS Sprinta Racing dalam perlumbaan Moto2 musim depan yang ditubuhkan dan diuruskan oleh SIC dengan misi membentuknya untuk berlumba dalam MotoGP pada 2019.

Bagaimanapun, pelumba berusia 23 tahun itu mestilah membuktikan keupayaan dan mencapai indeks prestasi utama (KPI) dengan menduduki ranking lima terbaik dalam kelas Moto2 pada 2018 bagi membolehkannya dinaikkan pangkat ke saingan MotoGP.


PELUMBA negara, Hafizh Syahrin kakan beraksi dengan pasukan baharu PETRONAS Sprinta Racing dalam perlumbaan Moto2 musim depan. - Foto Luqman Hakim Zubir

Ditanya mengenai kemungkinan SIC menubuhkan pasukan MotoGP sendiri bagi membolehkan Hafizh beraksi dalam kelas pertama itu, Razlan berkata perkara itu sukar direalisasikan kerana faktor kekurangan pengalaman.

"Menubuhkan pasukan baharu MotoGP bukannya mudah kerana ia memerlukan kita mempunyai banyak pengalaman dan pembabitan, di mana kedua-duanya tidak kita miliki buat masa sekarang.

"Jadi, penyelesaian terbaik sekarang ialah mencari tempat buat Hafizh dalam pasukan MotoGP sedia ada seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini (dengan Zulfahmi Khairuddin)," kata Razlan.

Berita Harian X