X
Isnin, 15 Januari 2018 | 9:32pm
JAGUH sukan permotoran negara, Ahmad Zamani (tiga dari kanan) yakin potensi pelumba muda ke peringkat lebih tinggi. - Foto Mahzir Mat Isa
JAGUH sukan permotoran negara, Ahmad Zamani (tiga dari kanan) yakin potensi pelumba muda ke peringkat lebih tinggi. - Foto Mahzir Mat Isa

Akses lebih mudah jadi kunci - Zamani

KUALA LUMPUR: Jaguh sukan permotoran negara, Ahmad Zamani Baharudin percaya dengan menyediakan landasan betul buat penunggang muda berpotensi di peringkat negeri, ia bukan saja mengasah kemahiran mereka malah meningkatkan calon pilihan pelumba di Malaysia.

Turut mengakui ia mampu mengelakkan mereka terdedah daripada risiko yang tidak sepatutnya, Zamani menyifatkan dunia perlumbaan motosikal ketika ini sudah begitu banyak berubah berbanding di zamannya tetapi masih ada ruang untuk ia dipertingkatkan.

"Ketika zaman saya dulu, ramai penunggang hanya memulakan karier (perlumbaan) selepas usia 20 tahun di mana hanya ada sedikit sokongan terhadap sukan ini," kata Zamani bekas naib juara Kejuaraan Motosikal Asia yang juga mentor kepada juara Asia dua kali, Azlan Shah Kamaruzaman.

"Ada begitu banyak perlumbaan dan program bagi pelumba muda ketika ini seperti yang dilakukan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Safe Aim Mutual dan Two Wheels Motor Racing (Promoter).

"Sekalipun ketika itu ada banyak perlumbaan, tetapi saya menganggapnya tidak sah kerana ia tidak dianjurkan dengan betul dan tidak mempunyai insurans. Dalam kata lain, tidak mengikuti saluran yang betul.

"Perkara ini menyebabkan pelumba berdepan dengan kesulitan jika mereka terbabit dengan kemalangan (tiada insurans) atau berdepan masalah dengan pihak berkuasa kerana berlumba pada perlumbaan yang tidak sah.

"Ia akan menyebabkan orang ramai bimbang untuk terbabit dalam sukan ini terutama ibu bapa."

Ketika ini, beberapa kelab motosikal dipercayai menganjurkan perlumbaan di litar yang kecil tanpa mendapat pengesahan daripada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) atau Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dengan Zamani berkata menyediakan akses lebih mudah kepada pelumba muda berminat sebagai antara kuncinya.

"Pasti hebat jika kita dapat menyediakan landasan di setiap negeri di mana pelumba mudah boleh terbabit dengan sukan ini dan meningkatkan kemahiran mereka dengan suasana pengawasan yang betul.

"Program atau perlumbaan ini boleh mengikuti peraturan yang diperlukan dan memisahkan pelumba bergantung kepada spesifikasi (jentera), pengalaman dan lain-lain.

"Pada masa ini, saya percaya ia hanya boleh didapati di Johor. Jika kita boleh melakukannya di setiap negeri, saya pasti kita akan dapat mengenal pasti dan mendidik lebih ramai pelumba berbakat."

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X