Jumaat, 26 Januari 2018 | 10:11pm
PEMANDU negara, Nabil Jeffri bakal membuat kemunculan pertama pada pusingan terakhir Siri Le Mans Asia di Litar Sepang minggu depan. - Foto Osman Adnan

Nabil sertai kemuncak Siri Le Mans Asia di Sepang minggu depan

KUALA LUMPUR: Pemandu negara, Nabil Jeffri bakal membuat kemunculan pertama dalam perlumbaan endurance apabila menyertai pusingan terakhir Siri Le Mans Asia di Litar Sepang minggu depan.

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali dengan menyatakan pemandu berusia 24 tahun itu bakal menyertai pasukan dari United Kingdom, Eurasia Motorsport.

Penyertaan Nabil itu secara tidak langsung bakal memberi saingan buat tiga pemandu negara - Jazeman Jaafar, Afiq Ikhwan Yazid dan Weiron Tan - yang bersama pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota #7 dalam kelas LMP2.

"Di pusingan terakhir ini (di Sepang), saya baharu disahkan yang kita akan menyenaraikan Nabil dalam pasukan Eurasia dalam kelas LMP2," kata Razlan ketika dihubungi, hari ini.

"Penyenaraian Nabil ini, strateginya sama seperti tiga pemandu yang lain sebelum ini iaitu bagi menguji Nabil sekiranya dia boleh selesa dengan kereta LMP2, endurance dan sebagainya."

Mengulas mengenai perancangan seterusnya sebaik saja musim 2017/18 melabuhkan tirainya di Sepang nanti, Razlan berkata pihaknya mempunyai perancangan untuk meletakkan empat pemandu ini dalam saingan Le Mans 24 Jam menerusi slot jemputan.

"Siri Le Mans Asia 2017/18 adalah satu ujian buat mereka. Kita mahu melihat kemampuan pemanduan mereka, kerjasama antara tiga pelumba yang diletakkan dalam pasukan (Jackie Chan DC Racing X Jota #7) dan adakah mereka sesuai dengan kelas LMP2 ini.

"Selepas pusingan terakhir di Sepang, kita akan membuat perancangan lebih tinggi, kita nak menyertai Le Mans 24 Jam di Perancis. Kalau mereka mempamerkan prestasi sama seperti di Buriram, kita mungkin boleh mempercepatkan pembangunan untuk mereka menyertai Le Mans 24 Jam pada tahun ini juga.

"Saya akan berusaha gigih di Siri Le Mans Asia minggu depan untuk cuba mendapatkan slot jemputan ke Le Mans. Apapun, semuanya bergantung kepada prestasi mereka di Sepang, minggu depan," kata Razlan.

Ketika pusingan ketiga dua minggu lalu di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, Jazeman, Afiq dan Weiron menjelmakan kemenangan pada kali pertama mereka digandingkan bersama.

Berita Harian X