Rabu, 7 Februari 2018 | 10:11pm
PELUMBA Moto2, Zulfahmi Khairuddin ketika melakukan ujian rasmi di Sirkit Ricardo Tormo, Valencia.

Harap cuaca lebih baik: Stigefelt

KUALA LUMPUR: Pengurus SIC Racing dan PETRONAS Sprinta Racing, Johan Stigefelt mengharapkan cuaca yang lebih baik memihak mereka esok selepas dua hari ujian rasmi Moto2 dan Moto3 di Sirkit Ricardo Tormo, Valencia berlangsung dalam cuaca sejuk.

Hari ini, pelumba Moto2, Zulfahmi Khairuddin hanya keluar ke litar pada sesi kedua dengan melakukan catatan sepusingan terbaik 1 minit 40.796 saat pada penampilan pertamanya bersama jentera Kalex.

Pengganti Hafizh Syahrin Abdullah yang akan menyertai pasukan MotoGP, Monster Yamaha Tech3 itu dijadual masih berbaki tiga lagi sesi ujian, esok.

"Semalam cuaca agak teruk, sejuk dan (litar) basah," kata Stigefelt. "Tidak banyak aktiviti di litar. Hari ini, kami sudah bersedia dan tumpuan kami adalah memastikan motosikal sesuai dengan pelumba selain melakukan beberapa pelarasan terhadap motosikal dan pelumba.

"Saya harap cuaca lebih baik esok supaya kami boleh memberi tumpuan kepada pelarasan motosikal dan setakat ini, cuaca menjadi halangan buat pasukan. Apa pun, kita lihat apa yang akan berlaku esok."

Masalah sama turut dihadapi pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin yang tidak dapat menunggang jenteranya sepanjang tiga sesi ujian, semalam.

Cuaca diramalkan hampir sama esok dengan suhu sekitar 12 Celsius, hujan pada sebelah pagi dan sejuk pada sebelah petang.

Berita Harian X