Jumaat, 9 Februari 2018 | 12:14am
PEMANDU go-kart, Putera Adam Halim bakal sertai CRG Racing Team di Eropah tahun ini.
PEMANDU go-kart, Putera Adam Halim bakal sertai CRG Racing Team di Eropah tahun ini.

Putera Adam sertai CRG Racing Team

 

SEPANG: Pemandu go-kart Putera Adam Halim akan mengikut jejak langkah idolanya Max Verstappen musim ini apabila terpilih menyertai CRG Racing Team di Eropah tahun ini.

Adam akan membuat kemunculan pertama bersama CRG yang pernah menaikkan nama Verstappen, Nico Rosberg dan Lewis Hamilton pada Piala Winter di Lonato, Itali bermula 14-18 Februari diikuti pusingan perlumbaan di Sarno dalam WSK Super Master (5-8 April), juga di Itali.

Dia juga akan bersaing dalam Siri Kejohanan Eropah CIK-FIA musim ini dengan saingan lima perlumbaan di Itali, United Kingdom, Jerman, Perancis dan Sweden antara 18 April hingga 13 September.

Pelumba berusia 12 tahun itu berlepas ke Itali, sebentar tadi.

Adam yang meningkat daripada saingan mini ke kategori junior musim ini, menekankan dia perlu beraksi baik pada perlumbaan sulung ini.

"Saya bertuah dapat menyertai CRG kerana ia adalah satu daripada pasukan terbaik di Itali. Memang saya sangat gembira," kata Adam ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebentar tadi.

"Max (Verstappen) juga pernah menyertai perlumbaan ini dan dia seorang yang saya amat kagumi kerana dia sangat yakin dan agresif. Dia bermula sangat muda (dalam Formula Satu) dan saya harap dapat lakukan perkara sama.

"Kategori junior akan menjadi lebih mencabar berbanding mini kerana ia lebih pantas dan kawalan stereng lebih berat. Saya perlu menyesuaikan diri lebih cepat dengan pasukan baharu dan juga kerangka jentera berbeza.

"Sasaran saya ialah menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik Piala Winter dan harap boleh bergelar tiga pemandu teratas keseluruhan dalam siri Kejohanan Eropah."

CRG Racing mengambil keputusan mendapatkan Adam berdasarkan persembahan dalam WSK Super Master Series sejak dua tahun lalu. Adam sebelum ini berlumba buat Gamoto ASD.

Berita Harian X