Jumaat, 9 Februari 2018 | 6:13pm
PELUMBA negara, Zulfahmi Khairuddin mempunyai masa yang suntuk untuk menyesuaikan diri dengan jentera Moto2 pada sesi ujian pertama di Valencia minggu ini. - Foto ZulFahmi Khairuddin

Zulfahmi harap Sepang membantu

KUALA LUMPUR: Zulfahmi Khairuddin akan bergantung sepenuhnya kepada sesi ujian SIC Racing Team di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu depan untuk mendapatkan tunggangan lebih baik sebelum bermulanya saingan Moto2 bulan depan. 

Zulfahmi yang banyak menghabiskan kariernya berlumba dalam Moto3, mempunyai masa yang suntuk untuk menyesuaikan diri dengan jentera Moto2 pada sesi ujian pertama di Valencia minggu ini selepas berdepan masalah cuaca buruk. 

SIC Racing Team akan mengadakan sesi ujian di Sepang dari 15 hingga 18 Februari ini bersama-sama pasukan Moto3, PETRONAS Sprinta Racing yang diwakili Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki. 

Pelumba berusia 27 tahun itu yang menggantikan tempat Hafizh Syahrin Abdullah dalam pasukan SIC Racing Team, gembira dengan potensi jenteranya setakat ini. 

"Jentera ini sangat ringan dan mempunyai kuasa yang bagus. Perkara yang sukar untuk menyesuaikan diri dengan tayar dan brek. 

"Kami sedang berusaha mengatasi masalah ini bagi membolehkan saya lebih yakin ketika mengambil selekoh. 

"Secara jujur, motosikal saya mempunyai potensi yang baik dan mampu melakukan catatan lebih pantas lagi. Saya hanya perlu menyesuaikan diri dengan jentera. 

"Sudah pasti amat menarik apabila dapat menjalani sesi ujian di Sepang minggu depan kerana cuaca lebih baik berbanding di Eropah ketika ini," katanya. 

Zulfahmi menambah, dia optimis mampu mencatat masa lebih baik dengan sokongan daripada pasukan serta individu di sekeliling SIC Racing Team.

Berita Harian X