Rabu, 21 Februari 2018 | 7:35pm
PELUMBA negara Hafizh Syahrin kini rasmi menyertai saingan MotoGP musim ini apabila ditandatangani oleh pasukan Monster Yamaha Tech 3 hari ini. - Foto BERNAMA

Hafizh sertai Tech 3

SUBANG: Hafizh Syahrin Abdullah kini rasmi menyertai saingan MotoGP musim ini apabila ditandatangani oleh pasukan Monster Yamaha Tech 3 hari ini.

Pasukan berpangkalan di Perancis itu mengikat Hafizh untuk kontrak setahun sebagai pengganti Jonas Folger yang terpaksa melupakan saingan musim ini akibat masalah kesihatan.

Tech 3 turut menampilkan penunggang rookie terbaik MotoGP 2017, Johann Zarco dan antara pasukan bukan pengeluar terkuat dalam MotoGP.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali, yang memainkan peranan penting dalam memastikan perjanjian saat akhir itu berkata, ia satu saat bersejarah dalam arena sukan permotoran negara.

Hafizh bukan saja penunggang pertama Malaysia beraksi dalam kelas perdana itu tetapi juga yang pertama dari rantau Asia Tenggara.

"Pada jam 4 petang tadi, kami menerima pengesahan daripada Tech 3 yang Hafizh akan menunggang untuk mereka bagi musim 2018," kata Razlan pada sidang media hari ini.

"Ini adalah pengumuman bersejarah untuk sukan permotoran negara. Selepas 27 tahun menganjurkan MotoGP, kali pertama di Litar Batu Tiga, diikuti Pasir Gudang dan kemudian Sepang, kita akhirnya mempunyai pelumba pertama bertanding dalam kelas perdana.

"Ini kemajuan yang membanggakan, kita bekerja keras untuk mendapatkan peluang ini. Ia adalah untuk Hafizh dan hadiah kepada rakyat Malaysia yang akan menyaksikannya berlumba dalam saingan MotoGP musim ini.

"Ia juga peluang buat Zulfahmi Khairuddin untuk menghidupkan kembali kariernya (dalam Moto2).

"Zulfahmi akan menggantikan tempat Hafizh dalam saingan Moto2 bersama SIC Racing Team. Pasukan Moto3 PETRONAS Sprinta Racing yang turut diuruskan oleh SIC akan menampilkan Adam Norrodin dan penunggang Jepun, Ayumu Sasaki. Ini kali pertama Malaysia mempunyai pelumba dalam ketiga-tiga kategori Moto3, Moto2 dan MotoGP."

Razlan menyatakan beliau akan menyerahkan kepada prinsipal pasukan Tech 3, Herve Poncharal untuk terus membentuk karier Hafizh.

"Kita serahkan Hafizh kepada Herve. Beliau akan membimbing dan membentuknya untuk menjadi penunggang lebih baik, lebih berpengalaman dan mampu bersaing dengan penunggang ternama seperti Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Marc Marquez.

"Kami uruskan setakat yang mampu tapi ia terpulang kepada Hafizh untuk melakukan kerjanya di litar. Dia melakukannya dengan baik di Buriram baru-baru ini dan mengejutkan banyak pihak dengan persembahannya, sekali gus memastikan tempat itu miliknya," katanya.

Hafizh baru saja menamatkan ujian pramusim selama tiga hari bersama Tech 3 di Litar Buriram, Thailand.

Musim MotoGP akan bermula di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 18 Mac depan.

Berita Harian X