Rabu, 28 Februari 2018 | 11:01pm
DUA pelumba PETRONAS Sprinta SIC Junior, Muhammad Izam Ikmal (tengah) dan Muhammad Idilfitri Mahadi (dua dari kiri) akan membuat kemunculan sulung di pentas antarabangsa pada Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia bulan depan.

Izam, Idil teruja ke CEV

KUALA LUMPUR: Dua pelumba muda, Muhammad Idilfitri Mahadi dan Muhammad Izam Ikmal sudah tidak sabar membuat kemunculan sulung di pentas antarabangsa pada Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia (CEV) yang membuka tirainya di Litar Estoril bulan depan.

Idil dan Izam dipilih menerusi program kendalian Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Impian ke MotoGP.

Kedua-dua pelumba berusia 15 tahun itu membawa nama pasukan PETRONAS Sprinta SIC Junior, beraksi dalam kelas Moto3 yang sebelum ini pernah menjadi medan buat pelumba Moto3 negara di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia, Adam Norrodin.

Adam yang memasuki tahun ketiganya di pentas Moto3 dunia tahun ini, pernah menyertai kejuaraan remaja itu selama dua tahun pada 2014 dan 2015 dengan meraih empat mata keseluruhan di kedua-dua musim berkenaan.

"Saya rasa teruja ke CEV dan tak sabar untuk pusingan pertama di Portugal. Saya harap dapat buat yang terbaik untuk pasukan dan Malaysia," kata Izam.

Sementara itu bagi Idilfitri, dia menganggap CEV sebagai platform terbaik buatnya membina karier sebagai seorang pelumba MotoGP pada masa akan datang.

"Saya bangga kerana dipilih ke CEV kerana ia satu pentas terbaik untuk terus maju dalam sukan permotoran," katanya.

Pusingan pertama CEV dijadual membuka tirainya di Estoril pada 25 Mac ini diikuti Litar Ricardo Tormo di Sepanyol pada 29 April depan.

Musim 2018 menyajikan lapan pusingan perlumbaan dengan Litar Ricardo Tormo di Valencia turut menjadi lokasi penutup kejuaraan pada 25 November.

77 dibaca
Berita Harian X