Selasa, 8 Mei 2018 | 9:13pm
PELUMBA Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin. - Foto Yazit Razali

SIC Racing, Zulfahmi 'bercerai'?

KUALA LUMPUR: Adakah penampilan pelumba Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin pada pusingan keempat di Grand Prix (GP) Sepanyol hujung minggu lalu adalah perlumbaan terakhirnya bersama SIC Racing?

Spekulasi mengenai perkara itu bertiup kencang selepas pelumba berusia 26 tahun itu tidak mampu memperagakan tunggangan terbaik di sepanjang empat pusingan musim ini sekali gus gagal memuaskan hati pengurusan SIC Racing.

Malah, difahamkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali yang menyaksikan Zulfahmi berlumba di Jerez sudah mengadakan pertemuan hati ke hati dengan pelumba itu bagi membincangkan masa depannya.

Difahamkan SIC dan pelumba itu sudah mencapai persetujuan bersama dan satu pengumuman membabitkan karier Zulfahmi di kelas Moto2 akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sekiranya benar, bekas pelumba Moto3 dan Supersport di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) itu tidak akan meneruskan baki 15 perlumbaan musim ini bermula di GP Perancis minggu depan dan siapakah penggantinya juga menjadi tanda tanya.

Untuk rekod, Zulfahmi hanya melengkapkan empat pusingan dengan yang pertama di GP Qatar pertengahan Mac lalu, meraih penamat ke-28 sebelum ke-26 (GP Argentina) dan ke-27 di GP Amerika Syarikat.

Pada pusingan keempat di GP Sepanyol minggu lalu, Zulfahmi tidak menamatkan perlumbaan apabila berdepan masalah teknikal di bahagian gear yang menyebabkannya terjatuh.

Sebelum ini, Zulfahmi menggantikan slot dikosongkan Hafizh Syahrin Abdullah yang melangkah ke saingan MotoGP pada saat akhir bersama pasukan Monster Yamaha Tech3.

Berita Harian X