Rabu, 13 Jun 2018 | 4:41pm
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali. - Foto Owee Ah Chun

Apa saja boleh berlaku - Razlan

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali berwaspada terhadap peluang pada Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) membabitkan trio Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Weiron Tan dalam perlumbaan Le Mans 24 Jam hujung minggu ini.

Razlan menjangkakan perlumbaan 24 jam, aksi kemuncak dalam saingan itu, adalah proses pembelajaran terhadap pelumba yang beraksi bersama pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota dalam kelas LMP2.

Perlumbaan akan bermula Sabtu ini (3 petang waktu Perancis) dan berakhir pada Ahad.

Jazeman, Nabil dan Weiron berada di bawah program pembangunan bakat SIC dan melangkah ke WEC daripada saingan siri Le Mans Asia baru-baru ini.

"Hujung minggu ini adalah perlumbaan berprestij Le Mans 24 Jam dan kali pertama dalam sejarah, tiga pelumba Malaysia turut serta," kata Razlan.

"Secara jujurnya, perlumbaan yang berlangsung selama 24 jam sukar diramalkan. Jentera pelumba kita lebih baik berbanding yang lain di atas kertas.

"Namun dalam perlumbaan menguji ketahanan, apa saja boleh berlaku. Ia adalah cabaran meknikal (kepada kereta), pelumba dan pasukan.

"Kami sentiasa berharap untuk melakukan yang terbaik dan sudah pasti menamatkan saingan di kedudukan podium namun berlumba dalam tempoh 24 jam, apa saja boleh berlaku.

"Ia adalah proses pembelajaran kepada mereka. Super Season merangkumi dua edisi Le Mans 24 Jam, jadi sekiranya mereka mempamerkan persembahan yang bagus, ia hebat namun jika sebaliknya, mereka masih mempunyai peluang tahun depan.

"Namun kami berharap mampu melakukannya dengan baik pada penampilan pertama."

Berita Harian X