Ahad, 17 Jun 2018 | 10:35pm
PELUMBA Ducati, Jorge Lorenzo (kiri) meraikan kejayaan menjuarai perlumbaan MotoGP di Litar Catalunya Catalunya, Sepanyol sebentar tadi. - Foto EPA

Lorenzo kuasai Catalunya, Hafizh terlepas mata

BARCELONA: Pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo menyambar kemenangan MotoGP kedua berturut-turut buat Ducati sebentar tadi dengan mendahului perlumbaan dari mula sehingga garisan penamat di Grand Prix (GP) Catalunya.

Pencabar dan pendahulu kejuaraan Marc Marquez menamatkan saingan di tempat kedua untuk pasukan Honda dengan pelumba Yamaha Valentino Rossi melengkapkan senarai podium.

Sementara pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah gagal mengekalkan kutipan mata yang konsisten selepas terjatuh di selekoh empat ketika berbaki empat pusingan dalam perlumbaan yang menyaksikan hanya 14 pelumba menamatkan saingan itu.

Ia pastinya mengecewakan pelumba berusia 24 tahun itu kerana dia terjatuh ketika berada di posisi kesembilan sekali gus terus kekal dengan keseluruhan 17 mata daripada tujuh perlumbaan.

Hafizh sebelum ini meraih penamat ke-12 masing-masing pada perlumbaan GP Itali.

AKSI perlumbaan MotoGP di Litar Catalunya Catalunya, Sepanyol sebentar tadi. - Foto AFP

Seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi yang mewakili IDEMITSU Honda Team Asia dalam saingan Moto2 pula terus kemarau mata buat perlumbaan kedua berturut-turut apabila sekadar menamatkan di kedudukan ke-19.

Pemenang pusingan ketujuh Moto2 menjadi milik pelumba Perancis, Fabio Quartararo yang merakam kepantasan 38'22.059s, diikuti pencabar kejuaraan Miguel Oliveira dari pasukan Red Bull KTM Ajo kedua dengan Alex Marquez (EG 0,0 Marc VDS) ketiga, sementara pendahulu Francesco Bagnaia sekadar berpuas hati di tempat kelapan.

Nasib berbeza dialami pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin yang bangkit menambah tiga mata lagi untuk keseluruhan 19 mata pada musim ini selepas meraih tempat ke-13 dalam perlumbaan di Catalunya itu.

Adam bagaimanapun jauh ketinggalan 15.256s di belakang pemenang dari Itali Enea Bastianini (Leopard Racing) yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 38'36.883s.

 

Keputusan MotoGP Sepanyol:

1 Jorge Lorenzo    (SPA)    Ducati Team         40'13.566

2 Marc Marquez    (SPA)   Repsol Honda Team         +4.479

3 Valentino Rossi  (ITA)    Movistar Yamaha          +6.098

4 Cal Crutchlow    (GBR)   LCR Honda CASTROL     +9.805

5 Dani Pedrosa    (SPA)   Repsol Honda Team         +10.640

6 Maverick Vinales (SPA)   Movistar Yamaha          +10.798

7 Johann Zarco     (FRA)   Monster Yamaha Tech 3     +13.432

8 Danilo Petrucci    (ITA)    Alma Pramac Racing Ducati    +15.055

9 Alvaro Bautista    (SPA)   Angel Nieto Team Ducati     +22.057

10 Andrea Iannone (ITA)    Team SUZUKI ECSTAR     +24.141

Berita Harian X