Jumaat, 6 Julai 2018 | 11:10am
Juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton pada sidang akhbar Formula Satu Grand Prix Great Britain di Litar Silverstone di Northamptonshire, Britain, semalam. - Foto EPA-EFE
Juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton pada sidang akhbar Formula Satu Grand Prix Great Britain di Litar Silverstone di Northamptonshire, Britain, semalam. - Foto EPA-EFE

Kesilapan menjadikan Mercedes lebih kuat: Hamilton

SILVERSTONE, England: Kesilapan strategi dan masalah teknikal hanya menjadikan Mercedes lebih kuat sebagai sebuah pasukan, kata juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton, semalam.

Warga British itu yang menjuarai grand prix di laman sendiri sejak empat tahun lalu menjadi pilihan merampas kembali pendahulu keseluruhan minggu ini selepas tewas kepada pelumba dari Ferrari, Sebastian Vettal di Austria, Ahad lalu.

Kedua-dua juara dunia sebanyak empat kali ini, Vettel dan Hamilton hanya dipisahkan 1 mata dengan 12 lagi baki perlumbaan.

Hamilton tersingkir awal kali pertama sejak 2016 di Sipelberg sekali gus mengakhiri rekod 33 perlumbaan berturut-turut dengan kutipan mata.

Sebelum diketepikan gara-gara masalah tekanan bahan api, kedudukannya turun daripada tempat pertama kepada keempat apabila Mercedes gagal membawanya segera ke hentian pit selepas kereta keselamatan digunakan.

"Semangat berpasukan adalah lebih kuat daripada apa yang pernah berlaku," kata Hamilton kepada wartawan.

"Kami sudah mempunyai pengalaman ini, dan kini kami mengendalikannya dan ia menyatukan kami."

"Ada tenaga yang hebat dalam pasukan. Memang ia pengalaman menyakitkan, tetapi merapatkan hubungan kami."

Hamilton berkata pasukan membuat beberapa "pembetulan" segera selepas perlumbaan, apabila rakan sepasukan Valtteri Bottas menghadapi masalah hidraulik.

Pemandu tidak dijangka menanggung sebarang penalti di grid perlumbaan Ahad ini di Silverstone akibat masalah teknikal di Austria.

"Pasukan ini hebat dan saya yakin kami sudah melakukan segala-galanya untuk memastikan ia tidak berlaku lagi," kata Hamilton. - REUTERS

Berita Harian X