Sabtu, 14 Julai 2018 | 11:28pm
MARC Marquez - AFP

Marquez raih petak pertama GP Jerman

SACHSENRING, Jerman: Pendahulu perlumbaan, Marc Marquez merampas petak utama GP Jerman buat kali kesembilan berturut-turut selepas sesi kelayakan sebentar tadi.

Pelumba Honda dari Sepanyol itu membuka ruang buat dirinya untuk melakar kemenangan keenam berturut-turut pada perlumbaan MotoGP di Litar Sachsenring dan memecahkan rekod sepusingan menerusi catatan 1 minit 20.27 saat bagi membolehkannya menduduki petak utama di perlumbaan sebenar, esok.

Barisan depan diisi barisan pelumba sama seperti tahun lalu dan selain Marquez, dia akan disertai pelumba Itali, Danilo Petrucci (Ducati Pramac) yang ketinggalan 0.025 saat di belakang dan seorang lagi pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo (Ducati).

Marquez muncul pelumba ketiga yang melakar masa terbaik di sesi kelayakan. Lorenzo memecahkan rekod lebih awal tetapi ia hanya bertahan kurang dari satu saat sebelum Petrucci kembali memperbaharuinya.

"Secara jujurnya, saya tidak jangka mampu mengisi petak utama," kata Marquez. "Saya melakukan beberapa kesilapan termasuk di pusingan terakhir dan ia sukar untuk diperbaiki tetapi catatan 20 mili saat ini sudah cukup untuk membolehkan saya menduduki petak utama."

Marquez melakukan tiga pusingan dan menukar tayarnya setiap satu pusingan manakala pesaingnya hanya melengkapkan dua pusingan.

"Kami cuba menetapkan perancangan terbaik untuk menduduki petak utama," katanya.

Ducati hanya sekali berjaya memenangi perlumbaan di Jerman sejak 20 tahun lalu apabila penunggang Australia, Casey Stoner menjuarainya pada 2008.

"Ducati akhirnya berjaya menyesuaikan diri dengan litar ini. Ia sangat menggembirakan," kata Lorenzo. "Saya masih boleh meningkatkan prestasi untuk perlumbaan sebenar nanti."

Petrucci mencatat masa terpantas sepanjang tiga sesi awal dan dilihat berpeluang memulakan perlumbaan di petak utama pertamanya di GP.

"Kami memang pantas minggu ini dan kami sentiasa berada di kedudukan terbaik," katanya.

Pelumba Sepanyol, Maverick Vinales (Yamaha), penunggang Itali, Andrea Dovizioso (Ducati) dan Valentino Rossi (Yamaha) menduduki barisan kedua. - AFP

Berita Harian X