Ahad, 15 Julai 2018 | 8:14pm
PELUMBA IDEMITSU Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi. - Foto fail NSTP/Luqman Hakim Zubir

Khairul Idham terus kempunan mata

KUALA LUMPUR: Grand Prix (GP) Jerman pernah menjadi memori indah buat Khairul Idham Pawi ketika muncul juara Moto3 dua tahun lalu namun litar Sachsenring tidak lagi memihak kepadanya selepas dua musim dalam kelas Moto2 sejak tahun lalu.

Pelumba IDEMITSU Honda Team Asia itu menamatkan perlumbaan pertamanya dalam kelas pertengahan musim lalu di tempat ke-20 dan kali ini memperbaiki kedudukannya apabila melengkapkan 28 pusingan di kedudukan ke-17.

Khairul Idham atau dikenali sebagai SuperKIP, menamatkan perlumbaan dimenangi pelumba Afrika Selatan, Brad Binder itu dengan catatan 40 minit 11.923 saat, ketinggalan 25.617s di belakang juara kali ini.

Mengekori Binder di tempat kedua dengan catatan 39'47.085s ialah Joan Mir dari pasukan EG 0,0 Marc VDS manakala Luca Marini (SKY Racing Team VR46) ketiga, 39'47.239s.

Keputusan diraih Khairul Idham itu sekali gus melanjutkan kemarau pungutan matanya dengan kali terakhir di GP Perancis, 20 Mei lalu di mana ketika itu dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 (1 mata).

Perlumbaan seterusnya dijadual berlangsung di GP Republik Czech, 5 Ogos ini di sirkit Automotodrom Brno.

Keputusan Moto2 GP Jerman

1. Brad Binder (RSA/Red Bull KTM Ajo) 39'46.306s

2. Joan Mir (SPA/EG 0,0 Marc VDS) 39'47.085s

3. Luca Marini (ITA/SKY Racing Team VR46) 39'47.239s

4.Miguel Oliveira (POR/Red Bull KTM Ajo) 39'48.449s

5.Sam Lowes (GBR/Swiss Innovative Investors) 39'52.682s

...17. Khairul Idham Pawi (MAS/IDEMITSU Honda Team Asia) 40'11.923s

Berita Harian X