Jumaat, 7 September 2018 | 10:48pm
KIMI Raikkonen. - Foto Reuters

Petisyen desak Ferrari kekal Raikkonen

LONDON: Lebih 20,000 peminat Kimi Raikkonen menandatangani petisyen online bagi mendesak Ferrari mengekalkan pemandu Formula Satu (F1) dari Finland itu setahun lagi daripada menggantikannya dengan pelumba 'rookie' Charles Leclerc.

Petisyen berkenaan dibuat dilaman change.org, mempersoalkan penggantian pemandu berusia 38 tahun itu yang disifatkan mereka sebagai ‘tidak mengikut justifikasi’ dan pasukan memerlukan pelumba berpengalaman itu untuk mengimbanginya bersama juara dunia empat kali Sebastian Vettel.

"Kimi juga sudah banyak kali mengalahkan Vettel dan menunjukkan beliau kini kembali ke prestasi sebenar dan kemampuannya di Monza menunjukkan kredibilitinya," kata penganjur petisyen Christy John.

Petisyen berkenaan bagaimanapun dijanka tidak memberikan sebarang kesan dengan Ferrari diramal sudah membuat keputusan untuk menggantikan juara dunia 2007 itu dengan pelumba pelapis dari Monegasque berusia 20 tahun yang membuat penampilan bersama Sauber musim ini.

Pengumuman berkenaan dijangka dibuat tidak lama lagi dengan perlumbaan pusingan F1 seterusnya bakal berlangsung di Singapura, minggu depan.

Raikkonen adalah pelumba paling tua yang masih beraksi dalam F1 dan menjadi pelumba terakhir Ferrari yang muncul juara dan salah seorang pelumba popular di garisan permulaan.

Bekas pengarah teknikal Ferrari, Ross Braw, yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Sukan F1 berkata beliau melihat banyak perubahan dalam diri pelumba Finland itu.

"Selepas kembali ke F1 tahun lalu, saya nampak peningkatan ditunjukkan Kimi," katanya selepas perlumbaan Ahad lalu. - REUTERS

11 dibaca
Berita Harian X