Rabu, 26 September 2018 | 5:18pm

Siapa pelumba wild card GP Malaysia?

KUALA LUMPUR: Siapakah pelumba negara yang akan beraksi atas tiket wild card pada Grand Prix (GP) Malaysia 2018 selepas Kasma Daniel Kasmayudin diberi peluang sama musim lalu?

Tahun lalu, Kasma menyertai kelas Moto3 di bawah pasukan PETRONAS Sprinta Racing di Litar Antarabangsa Sepang, namun tidak menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan akhir saingan.

Apapun, dengan berbaki kira-kira sembilan minggu sebelum GP Malaysia membuka tirainya dari 2 hingga 4 November ini, persoalan mula timbul sama ada terdapat pelumba yang diberi peluang beraksi atas tiket wild card di Sepang nanti dan apakah kelas yang disertainya?

Persoalan itu sedikit terungkai apabila terdapat bayangan yang menyatakan seorang daripada kelompok tiga pelumba teratas Malaysia dalam kelas SuperSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) ditawarkan peluang untuk mengisi slot wild card Moto2.

ARRC yang bakal memasuki Pusingan 5 Sirkit Sentul, Indonesia dari 12 hingga 14 Oktober ini menyaksikan tiga individu dalam kelompok itu adalah dua bekas pelumba dalam kelas Moto2 dunia iaitu, Azlan Shah Kamaruzaman dan Zaqhwan Zaidi.

Melengkapkan kelompok itu adalah pelumba sedang meningkat naik Azroy Hakeem Anuar yang mewakili Musashi Boon Siew Honda dan Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing di Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Bagaimanapun, Zaqhwan mungkin menjadi salah satu nama yang digugurkan selepas pelumba Honda Asia-Dream Racing itu mempunyai tugasan di Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun (AJRRC) pada minggu sama.

Dan ia secara tidak langsung mengecilkan lagi skop yang ada kepada juara ARRC 2017 berpengalaman, Azlan dan juga Azroy yang ketika ini menduduki tangga ke-12 dengan 37 mata dalam saingan ARRC manakala ke-14 (20 mata) di Kejuaraan Cub Prix.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali memberi bayangan keputusan mengenai persoalan itu hanya diketahui minggu ini.

“Kita akan mengetahuinya pada akhir minggu ini,” kata Razlan.

Berita Harian X