Jumaat, 28 September 2018 | 4:02pm
PETRONAS-logo

PETRONAS jalin kerjasama baharu dengan Dorna Sports

KUALA LUMPUR: PETRONAS terus meluaskan pembabitan mereka pada Kejuaraan Motosikal Dunia apabila syarikat minyak dan gas Malaysia itu menjalin kerjasama baharu bersama Dorna Sports sebagai penaja di Litar Antarabangsa Sepang dan Litar Antarabangsa Chang, Thailand.

Kerjasama tersebut membolehkan logo PETRONAS terpampang di beberapa lokasi strategik sepanjang trek berkenaan bermula tahun depan sehingga 2021 sekali gus menandakan komitmen PETRONAS untuk terus mengharumkan sukan permotoran dan nama Malaysia.

PETRONAS bukanlah satu nama asing dalam sukan permotoran dan mula terbabit secara langsung sejak awal tahun 2000.

Sebelum ini, syarikat petroleum negara itu membabitkan diri di Kejuaraan Remaja Dunia Moto3, Kejuaraan Dunia Moto2 serta Moto3 dan baru-baru ini muncul selaku penaja utama untuk pasukan pertama negara dalam kelas MotoGP - PETRONAS Yamaha Sepang Racing bagi musim depan.

“Kami melihat kepada kesedaran jenama menerusi kerjasama ini yang akan menjadi pendorong apatah lagi MotoGP adalah acara sukan permotoran utama di seluruh dunia, seterusnya melengkapkan projek kami di Moto3, Moto2 dan MotoGP,” kata Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS, Zahariah Abdul Rahman.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Dorna Sports, Pau Serracanta mengalu-alukan kerjasama dengan berkata: “PETRONAS adalah salah sebuah jenama terbesar di Asia.

“Persetujuan baharu ini, termasuk projek perlumbaan yang diumumkan baru-baru ini, bakal membawa masa depan yang lebih cerah buat PETRONAS dan MotoGP.”

26 dibaca
Berita Harian X