Jumaat, 5 Oktober 2018 | 11:41am
PEMANDU Sauber, Charles Leclerc. - Foto Reuters

Memori hantui Leclerc di GP Jepun

SUZUKA: Muka baharu Formula Satu (F1), Charles Leclerc dibelenggu perasaan bercampur baur apabila kemunculan pertamanya di Grand Prix (GP) Jepun minggu ini, penuh dengan memori tragik.

Ketika pemandu Sauber itu tampak tidak sabar untuk memandu di Suzuka - sebuah trek yang diminati dalam kalendar perlumbaan - namun memori terhadap rakan zaman kanak-kanaknya, Jules Bianchi jelas masih belum dapat dilupakannya.

Bianchi yang bersama Marussia, terbabas ketika hujan membasahi GP Jepun 2014 dan mengalami kecederaan kepala yang meragut nyawanya.

“Ia satu minggu yang penuh sukar,” kata Leclerc. “Jules banyak membantu saya untuk tiba di sini, bukan saja daripada sudut perlumbaan semata-mata. Dia seperti sebahagian daripada keluarga.

“Saya tidak pernah ke Jepun sebelum ini, sesi tinjauan trek pagi ini sangat emosional.”

Bapa Leclerc, Herve, yang meninggal dunia tahun lalu dan bapa Bianchi, Philippe adalah rakan baik sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Leclerc yang muncul juara Formula Dua (F2) tahun lalu, menunjukkan prestasi mengagumkan musim ini baik daripada sudut sesi kelayakan mahupun perlumbaan.

Pemandu berusia 20 tahun itu, sama seperti Bianchi yang disokong Ferrari - bakal menyertai pasukan dari Itali itu musim depan bersama juara empat kali Sebastian Vettel, sama seperti Bianchi yang dikatakan bakal ke pasukan itu sebelum kematiannya.

Leclerc berkata, dia tidak sebarang perancangan untuk melakukan acara peringatan sebagai mengingati Bianchi minggu ini.

Pemandu hanya dibenarkan memakai topi keledar yang mempunyai seragam berbeza daripada warna kebiasaan mereka, sekali dalam setahun.

Leclerc sudah pun memakai topi keledar yang dicat berdasarkan warna bapanya ketika menyertai Formula Tiga di laman sendiri di GP Monaco, Mei lalu. - AFP

Berita Harian X