Isnin, 19 November 2018 | 12:08am
PENUNGGANG pasukan Ducati, Andrea Dovizioso mengungguli MotoGP Valencia, sebentar tadi. - Foto Reuters

Dovizioso takluk Valencia, Hafizh ke-10

KUALA LUMPUR: Penunggang MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan penutup tirai musim 2018 Grand Prix (GP) Valencia di tangga ke-10, hari ini yang dimenangi pelumba Ducati, Andrea Dovizioso.

Keputusan di Litar Ricardo Tormo itu menyaksikan Hafizh (Monster Yamaha Tech3) mengutip enam mata kejuaraan tetapi ia tidak cukup untuk memintas pendahulu anugerah pelumba baharu terbaik, Franco Morbidelli sekali pun pelumba EG 0,0 Marc VDS itu tidak menamatkan perlumbaan susulan terjatuh. 

Perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan hujan itu pada satu ketika terpaksa dihentikan sebelum disambung semula turut menyaksikan beberapa pelumba terpaksa menamatkan saingan lebih awal antaranya juara dunia, Marc Marquez.

Sekali pun memulakan perlumbaan di petak ke-10 selepas saingan disambung, Hafizh tidak berjaya mengekalkan kedudukannya itu apabila berada di tangga ke-12 tetapi kemalangan membabitkan beberapa pelumba di depan termasuk Valentino Rossi memberinya ruang.

Untuk mengatasi Morbidelli yang mengumpul 50 mata kejuaraan, Hafizh perlu menamatkan saingan di Valencia di tangga kelima terbaik.

Sementara itu, Dovizioso merangkul kemenangan keempatnya pada musim ini dengan penuh bergaya diikuti dua pelumba Sepanyol, Alex Rins (Suzuki) dan Pol Espargaro (KTM) melengkapkan kedudukan podium.

Dalam kelas Moto2, pelumba Finland, Niki Tuuli (Petronas Sprinta Racing), yang memulakan perlumbaan di petak ke-25 pada satu ketika mendaki ke tangga kelima sebelum terjatuh ketika saingan berbaki enam pusingan.

Pelumba tunggal negara dalam kelas berkenaan, Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) juga gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh seawal pusingan kedua.

Perlumbaan kelab pertengahan itu dimenangi penunggang Portugal, Miguel Oliveira dari pasukan Red Bull KTM Ajo.

Sementara itu dalam kelas Moto3, Muhammad Izam Ikmal yang menggantikan tempat Adam Norrodin (Petronas Sprinta Racing) yang cedera turut terjatuh ketika saingan masih berbaki 16 pusingan.

Izam begitupun memulakan perlumbaan di petak terakhir daripada 30 pelumba.

Pelumba wildcard pasukan Red Bull KTM Ajo dari Turki, Can Oncu memenangi perlumbaan berkenaan sekali gus mencipta sejarah apabila muncul pelumba termuda memenangi perlumbaan di kejuaraan dunia di usia 15 tahun. 

Keputusan GP Valencia

MotoGP

1. Andrea Dovizioso (ITA) Ducati Team (GP18) 24 minit (m) 3.408 saat (s)

2. Alex Rins (ESP) Suzuki Ecstar (GSX-RR) 24m 6.158s

3. Pol Espargaro (ESP) Red Bull KTM Factory (RC16) 24m 10.814s

4. Michele Pirro (ITA) Ducati Team (GP18) 24m 12.055s

5. Dani Pedrosa (ESP) Repsol Honda (RC213V) 24m 16.759s

6. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V) 24m 35.696s

7. Johann Zarco (FRA) Monster Yamaha Tech3 (YZR-M1) 24m 36.214s

8. Bradley Smith (GBR) Red Bull KTM Factory (RC16) 24m 36.519s

9. Stefan Bradl (GER) LCR Honda (RC213V) 24m 39.784s

10. Hafizh Syahrin (MAL) Monster Yamaha Tech3 (YZR-M1) 24m 40.606s

Moto2

1. Miguel Oliveira (POR) Red Bull KTM Ajo (KTM) 45m 7.639s

2. Iker Lecuona (ESP) Swiss Innovative Investors (KTM) 45m 20.840s

3. Alex Marquez (ESP) EG 0,0 Marc VDS (Kalex) 45m 29.814s

4. Mattia Pasini (ITA) Italtrans Racing Team (Kalex) 45m 36.531s

5. Remy Gardner (AUS) Tech 3 Racing (Tech 3) 45m 37.745s

6. Fabio Quartararo (FRA) HDR Heidrun - Speed Up (Speed Up) 45m 39.765s

7. Marcel Schrotter (GER) Dynavolt Intact GP (Kalex) 45m 40.725s

8. Augusto Fernandez (ESP) Pons HP40 (Kalex) 45m 41.589s

9. Andrea Locatelli (ITA) Italtrans Racing Team (Kalex) 45m 43.346s

10. Simone Corsi (ITA) Tasca Racing Scuderia Moto2 (Kalex) 45m 44.658s

** Khairul Idham Pawi (MAL) IDEMITSU Honda Team Asia (Kalex) Tidak tamatkan perlumbaan

Moto3

1. Can Oncu (TUR) Red Bull KTM Ajo (KTM) 43m 6.370s

2. Jorge Martin (ESP) Del Conca Gresini Moto3 (Honda) 43m 10.441s

3. John McPhee (GBR) CIP - Green Power (KTM) 43m 12.500s

4. Fabio Di Giannantonio (ITA) Del Conca Gresini Moto3 (Honda) 43m 19.267s

5. Enea Bastianini (ITA) Leopard Racing (Honda) 43m 21.105s

6. Jaume Masia (ESP) Bester Capital Dubai (KTM) 43m 28.354s

7. Niccolò Antonelli (ITA) SIC58 Squadra Corse (Honda) 43m 33.011s

8. Nakarin Atiratphuvapat (THA) Honda Team Asia (Honda) 43m 37.128s

9. Marcos Ramirez (ESP) Bester Capital Dubai (KTM) 43m 39.781s

10. Celestino Vietti (ITA) SKY Racing Team VR46 (KTM) 43m 45.378s

** Izam Ikmal (MAL) Petronas Sprinta Racing (Honda) Tidak tamatkan perlumbaan

Berita Harian X