Rabu, 21 November 2018 | 8:01pm
HAFIZH Syahrin Abdullah - Foto ZUNNUR AL SHAFIQ
HAFIZH Syahrin Abdullah - Foto ZUNNUR AL SHAFIQ

Hafizh mula uji KTM, Morbidelli tunjuk belang

KUALA LUMPUR: Peluang penunggang MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk menguji jentera baharu KTM pada hari pertama sesi ujian rasmi di Valencia, Sepanyol terpaksa dihadkan susulan hujan, semalam.

Penunggang pasukan KTM Tech3 itu hanya mampu melakukan 20 pusingan menggunakan jentera RC16  di Litar Ricardo Tormo dengan catatan terbaiknya 1 minit 34.233 saat (s) meletakkannya di kedudukan ke-24 terpantas daripada 25 pelumba yang mengambil bahagian.

Selepas 20 musim bersama Yamaha, Tech3 yang berpangkalan di Perancis beralih arah menggunakan jentera spesifikasi utama KTM bagi musim 2019.

“Saya amat gembira berada di garaj KTM dan menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Kami tidak mampu melakukan banyak pusingan hari ini (semalam) kerana keadaan litar masih belum kering dan ramai pelumba turut menunggu.

“Saya melakukan 20 pusingan dan merancang untuk meneruskannya, tetapi tiba-tiba hujan yang hampir dua jam sebelum ujian rasmi berakhir, jadi kami tidak mempunyai peluang yang banyak untuk melakukan lebih pusingan di atas litar yang kering.

“Ketika ini, saya dapat rasakan yang jentera ini agak baik dari sudut kendalian dan lebih berkuasa tetapi jelas kami perlu mengubah beberapa perkara untuk mengadaptasi dengan corak tunggangan saya. Apapun, saya amat gembira menunggang jentera RC16 dan tidak sabar untuk terus mengujinya.”

Rakan sepasukan baharu Hafizh, Miguel Oliveira yang menggantikan Johann Zarco dan beralih angin ke kelas MotoGP dari Moto2 musim depan melakukan 1:35.118s untuk tangga ke-25. 

Sementara itu, pasukan pertama Malaysia dalam kancah MotoGP, PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) tampil dengan persembahan baik dengan penunggangnya, Franco Morbidelli menduduki tangga keenam terpantas.

Pelumba Itali itu, yang memenangi anugerah Pelumba Muka Baharu terbaik melakukan 40 pusingan dengan catatan terbaik 1:32.085s  menggunakan jentera Yamaha, YZR-M1.

“Ia hari pertama yang hebat. Saya cepat selesa dengan jentera dan hubungan dengan pasukan juga amat baik,” kata Morbidelli. “Saya memperoleh beberapa pusingan pada sebelah petang dan ia bagus serta laju.

“Saya mendapat lebih masa untuk mendapatkan rentak tunggangan dan memahami kekuatan serta kelemahannya dan cuba untuk meraih sesuatu daripada ujian ini. Saya agak terkejut betapa lancarnya jentera Yamaha untuk ditunggang dan betapa mudahnya ia untuk difahami.”

Rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo yang seperti Oliveira sebagai penunggang baharu dalam kelas MotoGP melakukan 1:33.233s untuk menghuni tangga ke-23.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X