Jumaat, 21 Disember 2018 | 6:42pm
SHAHROL Yuzy Ahmad Zaini (kiri) dan Azlan Shah Kamaruzaman. - Foto NSTP
SHAHROL Yuzy Ahmad Zaini (kiri) dan Azlan Shah Kamaruzaman. - Foto NSTP

48 rebut peluang lumba satu pengeluar Cub Prix

KUALA LUMPUR: Seramai 48 remaja dari seluruh negara akan bersaing di Litar Lumba Tangkak, Johor bagi merebut peluang mendapatkan slot penyertaan ke siri perlumbaan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2019 bermula esok hingga Ahad ini.

Remaja berusia antara 13 hingga 22 tahun itu dipilih menerusi program pencarian bakat di 22 lokasi seluruh negara kendalian Kejuaraan Cub Prix Malaysia bersama Kementerian Belia dan Sukan manakala pelumba Grand Prix dunia pertama Malaysia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini bertindak selaku mentor program dan dibantu juara Asia dua kali, Azlan Shah Kamaruzaman.

SHAHROL Yuzy Ahmad Zaini jadi mentor program pencarian bakat di 22 lokasi seluruh negara kendalian Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
SHAHROL Yuzy Ahmad Zaini jadi mentor program pencarian bakat di 22 lokasi seluruh negara kendalian Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

“Dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, program Klinik Cub Prix KBS ini menemui golongan remaja dari pelbagai lapisan masyarakat di 22 kawasan seluruh negara.

“Kami sudah menguji sekitar 2,200 peserta sebelum menyenaraikan 48 remaja terbaik termasuk yang diterbangkan dari Sabah dan Sarawak untuk ke sesi pemilihan akhir minggu ini,” kata Shahrol Yuzy.

“Daripada 48 pelumba ini, enam akan menerima slot automatik berserta biasiswa penuh untuk beraksi dalam saingan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix musim depan.

“Ini program pencarian bakat dan pemilihan terbesar serta paling komprehensif pernah dikendalikan oleh Cub Prix.

“Sambutan yang kami terima juga amat menggalakkan dan remaja yang kami temui begitu teruja dan berminat dengan peluang sebegini dan saya harap program bersama antara Cub Prix dan KBS ini akan diteruskan pada masa akan datang.

“Sukan permotoran ini sukan yang sangat khusus dan ada kalanya tidak dapat dirasai oleh sebahagian mereka di luar sana. Siri klinik ini amat efektif kerana kami membawakan sukan ini dekat kepada mereka dan orang ramai dan momentum yang dibina sepanjang tahun ini perlu diteruskan.”

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X