Sabtu, 19 Januari 2019 | 10:15pm
KETUA Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali. - Foto Owee Ah Chun

Tujuh pelumba SIC ada 'pendamping'

KUALA LUMPUR: Tujuh pelumba daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) - akan diiringi tujuh mekanik tempatan, dalam usaha mewujudkan platform yang membolehkan kelompok ini menimba pengalaman baharu di pentas antarabangsa.

SIC mempunyai tujuh pelumba tempatan yang dijadual beraksi di peringkat Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2, Khairul Idham Pawi dan bakinya di Kejuaraan Moto2 Eropah, Kejuaraan Motosikal Remaja Moto3 Dunia (CEV) dan perlumbaan sokongan CEV, Kejuaraan European Talent Cup (ETC).

"Tahun ini, kita bukan saja letakkan pelumba baharu di CEV mahupun di ETC, tetapi juga tujuh mekanik untuk setiap pelumba, di setiap peringkat (kejuaraan)," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

"Bagi tujuh pelumba ini, kita ada tujuh mekanik yang akan ikut (pelumba) daripada berlatih sehinggalah ke program yang kita letakkan mereka.

"Mereka ini (mekanik) tempatan. Pendekatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mereka dan belajar,” katanya.

Selain Khairul Idham, enam lagi pelumba di bawah kendalian SIC adalah Kasma Danial Kasmayudin dan Adam Norrodin di CEV Moto2; Muhammad Izam Ikmal dan Muhammad Idilfitri Mahadi (CEV Moto3).

Harith Haziq Zamri dan Mohd Danial Syahmi Ahmad Shahril juga melengkapkan senarai dan dijadual beraksi dalam perlumbaan ETC.

Sementara itu, Razlan mengakui mereka meletakkan sasaran supaya akan ada seorang daripada pelumba di CEV Moto3 tahun ini dapat mengisi slot pelumba dalam pasukan Moto3 negara di peringkat dunia bagi musim 2020.

"Zulfahmi (Khairuddin) dan SIC dapat menubuhkan satu struktur yang bagus daripada segi latihan dan sebagainya.

“Sekarang, saya bagi sasaran kepada Zulfahmi supaya dua orang pelumba kita di CEV Moto3, pada 2020 nanti harus mencapai sasaran yang seorang daripada mereka akan menggantikan Ayumu atau John (McPhee).

"Kini, kita sudah sediakan semuanya, struktur, tempat latihan, penasihat kecergasan sepenuh masa dari Jerman dan semuanya sudah disediakan.

"Jadi apa yang kita buat terutamanya daripada (sudut) membangunkan pelumba ini sudah lengkap, dan yang tinggal hanyalah (bergantung) pada mereka... untuk buat yang terbaik," katanya.

618 dibaca
Berita Harian X