Khamis, 24 Januari 2019 | 6:55pm
KHAIRUL Idham Pawi.

SuperKIP mahu ubah corak tunggangan

KUALA LUMPUR: Kelas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia 2019 akan menyaksikan enjin baharu Triumph akan digunakan buat kali pertama dan bagi Khairul Idham Pawi, dia harus menukar corak tunggangannya berbanding dua penyertaannya dalam kelas sama sejak dua tahun lalu.

Menggunakan enjin berkapasiti 765cc berbanding 600cc daripada Honda sebelum ini, pastinya juara Moto3 di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman pada tahun 2016 itu harus mengubah corak tunggangan bagi menyesuaikan diri dengan jentera baharu pasukan milik Malaysia, PETRONAS Sprinta Racing.

"Saya rasa begitu," kata Khairul Idham yang memasuki tahun ketiganya dalam kelas pertengahan itu. "Motosikal yang berbeza jadi terdapat beberapa aspek daripada corak tunggangan saya perlu ubah bagi menyesuaikan diri dengannya."

Pada Ogos tahun lalu di GP Silverstone, Khairul Idham atau dikenali sebagai SuperKIP diumum sebagai satu-satunya pelumba negara berada dalam senarai pasukan tajaan PETRONAS di pentas berprestij itu.

Pelumba Itali, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo (Perancis) mengisi slot bagi pasukan sulung negara dalam kelas perdana MotoGP - PETRONAS Yamaha Sepang Racing - manakala Ayumu Sasaki (Jepun) dan John McPhee (Scotland) mewakili pasukan Moto3 negara.

Buat pertama kalinya, Khairul Idham, 20, menunggang motosikal baharunya dalam sesi ujian pra musim di litar Jerez, November lalu dan dia dijadual menjalani ujian kedua 20 Februari ini di litar sama.

Sesi ujian terakhir adalah di Sirkit Antarabangsa Losail, Qatar sebelum litar sama dijadual membuka tirai bagi musim 2019 pada 10 Mac nanti.

"Perasaan pada ujian pertama pra musim sangat bagus. Kami menunggang (jentera) Kalex yang menggunakan enjin baharu buat kali pertama dan semuanya sangat positif kerana saya berasa amat selesa dengan jentera baharu ini dan juga staf baharu," katanya. 

"Kami akan bersama-sama menjadikannya satu keluarga yang besar."

PETRONAS Yamaha Sepang Racing dan Petronas Sprinta Racing dijadual memperkenalkan pasukan secara rasmi dalam satu acara di Dewan Filharmonik di KLCC, Isnin ini.

Berita Harian X