Isnin, 28 Januari 2019 | 11:29pm
PELUMBA Petronas Yamaha Sepang, Fabio Quartararo (kanan) dan Franco Morbidelli. - Foto EPA

Morbidelli, Quartararo sedia sahut cabaran

 

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Franco Morbidelli mahu 'memerah sepenuh keringatnya' bagi memastikan pasukan sulung negara dalam kelas MotoGP itu dapat mencapai sasaran diletakkan.

Morbidelli dari Itali menjalani dua ujian pra musim di Valencia dan Jerez pada November tahun lalu bersama jentera baharu Yamaha dan dia menyifatkan kedua-dua ujian itu sebagai positif.

"Saya harap begitu, saya akan lakukan semaksima mungkin. Pada ujian (pra musim) saya berada di tempat keenam.

"Ini bermakna kelajuan berada di tahap yang baik. Biarpun begitu, saya tahu ujian bukanlah yang sebenar-benarnya.

"Apapun, kami berada di laluan yang baik dan ia satu perkara yang baik," kata Morbidelli yang diletakkan sasaran berada dalam kelompok enam terbaik bagi musim ini bersama rakan sepasukannya, Fabio Quartararo.

Quartararo dari Perancis menjadi rakan sepasukan Morbidelli dan muka baharu dalam kelas perdana itu sudah bersedia untuk mencabar gelaran muka baharu (rookie) terbaik bagi musim 2019.

Quartararo, 19, bakal menerima cabaran daripada juara Moto2 tahun lalu, Francesco Bagnaia, naib juara Miguel Oliveira dan juara dunia dalam kelas Moto3 2017, Joan Mir dalam usaha memburu gelaran yang pernah diraih Morbidelli musim lalu.

"Mereka adalah pelumba yang bagus," kata Quartararo. "Pecco (Bagnaia), Miguel berada di tangga pertama dan kedua (kejuaraan Moto2 tahun lalu).

"Joan juga juara dunia jadi saya fikir, ia satu persaingan yang kompetitif untuk rookie MotoGP kali ini," katanya.

Pasukan dijadual menjalani ujian pertama bagi tahun ini di Litar Antarabangsa Sepang pada 1 hingga 3 Februari sebelum ujian rasmi pra musim berlangsung di trek sama, 6 hingga 8 Februari.

Litar Antarabangsa Losail di Qatar menjadi lokasi ujian terakhir bagi kelas ini pada 23 hingga 25 Februari sebelum pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Dunia membuka tirai di sirkit sama, 10 Mac ini.

272 dibaca
Berita Harian X