Selasa, 29 Januari 2019 | 12:52pm
Sebastian Vettel dan Charles Leclerc. - Foto Reuters

F1: Leclerc buat Vettel tertekan 

LONDON: Tekanan hebat menanti Sebastian Vettel di Ferrari pada musim ini, apatah lagi dengan kehadiran rakan sepasukan baharu Charles Leclerc, tegas dua bekas pemandu Formula Satu (F1), Jenson Button dan Nico Rosberg.

Vettel, 31, yang juga juara empat kali dunia, tewas dalam pertarungan tahun lalu kepada jaguh Mercedes, Lewis Hamilton berikutan beberapa kesilapan oleh pemandu dari Jerman itu dan rakan sepasukannya, selepas membuat permulaan cemerlang.

Ferrari kini membawa masuk Leclerc, 21, sebagai pengganti juara 2007, Kimi Raikkonen dan menggantikan ketua pasukan, Maurizio Arrivabene dengan ketua teknikal Mattia Binotto.

“Jelas sekali, tekanan pastinya ada,” kata Rosberg yang juga bekas rakan sepasukan Vettel kepada stesen penyiaran Sky Sports.

“Dia (Vettel) sudah merasainya, saya pasti, dan terutamanya apabila anda memandu untuk Ferrari – di mana tekanannya amat tinggi kerana seluruh harapan negara berada di bahu anda,” tambah juara 2016 itu.

“Dia perlu meningkatkan prestasi dan pasukan juga sama. Banyak kesilapan dilakukan mereka musim lalu kerana sepatutnya mereka yang memenanginya.”

Button yang bersama Rosberg dijemput sebagai pengkritik Sky untuk kempen ini berkata, kemunculan Leclerc mungkin mempunyai kesan yang sama seperti musim pertama Daniel Ricciardo di Red Bull.

Ricciardo bergandingan dengan Vettel di Red Bull pada 2014, menamatkan saingan di tempat ketiga dan dengan tiga kemenangan podium.

Manakala pemandu Jerman itu pula gagal mencatat sebarang kemenangan podium dan sekadar berpuas hati di tempat kelima, sebelum berhijrah ke Ferrari pada musim berikutnya.

“Saya fikir ia akan menjadi tahun yang besar untuk Sebastian. Apabila Daniel Ricciardo tiba ke Red Bull, dia berdepan kesukaran,” kata Button.

“Daniel memberikannya begitu banyak tekanan dan menenggelamkan prestasinya. Saya fikir jika Charles mampu melakukannya tahun ini, ia menjadi keputusan sukar ke mana hala tuju Sebastian seterusnya,” – AFP

 

473 dibaca
Berita Harian X