Isnin, 4 Februari 2019 | 7:31pm
RAZLAN Razali. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Kami patut menang'

KUALA LUMPUR:  Pemandu negara, Nabil Jeffri menegaskan dia dan rakan sepasukannya, Jazeman Jaafar dan Weiron Tan sepatutnya memenangi Anugerah Pemandu Antarabangsa Terbaik pada Majlis Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2018 yang bakal berlangsung 12 Februari ini.

"Ini adalah kali pertama saya dicalonkan bagi anugerah ini. Saya rasa memang kami patut menang pun kerana kami mencipta sejarah tahun lalu sebagai satu pasukan.

"Saya juga rasa kami berhak menang kerana tak pernah lagi satu pasukan dari Malaysia bertanding di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) dan menang di Jepun serta di tempat kedua di Silverstone," katanya selepas sidang media pengumuman calon yang disenarai pendek bagi Anugerah itu di sini hari ini.

Nabil yang memenangi Anugerah Pembangunan Sukan Permotoran KBS pada malam anugerah tahun lalu dicalonkan bagi Anugerah Pemandu Antarabangsa Terbaik bersama Jazeman dan Weiron serta dua lagi calon -  Afiq Ikhwan Yazid dan Mitchell Cheah.

"Saya rasa kalau menang mesti bersama-sama tetapi jelas sekali saya kecewa kerana program kami tak diteruskan kerana kami mempunyai potensi sebagai juara dunia (keseluruhan).

"Jika kami menang, kami sepatutnya menang sebagai satu pasukan kerana kami berlumba bersama di WEC. Bagaimanapun ini adalah apa yang saya rasa, terpulanglah kepada penganjur untuk putuskan," katanya.

Trio negara yang mewakili pasukan Jackie Chan DC Racing di WEC berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 15 mata dalam kelas LMP2 tatkala mereka hanya dipisahkan tiga mata daripada penghuni tangga kedua dari pasukan Signatech Alpine Matmut.

Pasukan itu tidak berjaya menamatkan tiga lagi perlumbaan bagi musim ini apabila penyertaan mereka ditamatkan biarpun sebelum itu melakar sejarah memenangi Perlumbaan Enam Jam Fuji, Oktober lalu, menamatkan perlumbaan di tempat kedua di Litar Silverstone pada Ogos serta keempat di Le Mans, Shanghai dan Spa-Francorchamps.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali berkata pemilihan anugerah yang memasuki edisi ketiga itu semakin sukar apabila banyak atlet berkelayakan mencipta pelbagai kejayaan di pentas tempatan dan antarabangsa.

"Setiap tahun kami akan membuat penambahbaikan untuk kategori pencalonan mengikut keadaan. Pada tahun ini kami perkenalkan dua lagi anugerah - Anugerah Atlet Permotoran Wanita Harapan Terbaik dan Atlet e-Permotoran Terbaik," katanya.

Calon Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2018

Pemandu Antarabangsa Terbaik: Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri, Weiron Tan, Afiq Ikhwan Yazid, Mitchell Cheah

Penunggang Antarabangsa Terbaik: Hafizh Syahrin Abdullah, Azlan Shah Kamaruzaman, Habibullah Salleh, Danial Syahmi Shahril, Muhammad Helmi Azman

Pasukan Terbaik (Empat Roda): Tedco Racing, Dream Chaser, R Engineering, Proton R3

Pasukan Terbaik (dua roda): Chia PJ Kawasaki, TOC HKM Toyo Racing, SCK Rapido Hi-Rev Honda, Promax NJT IKBN Jitra

Pemandu Kebangsaan Terbaik: Mark Darwin, Brendan Paul, CY Ong, Farique Hairuman, Syafiq Ali

Penunggang Kebangsaan Terbaik: Azlan Shah Kamaruzaman, Amirul Hafiq Azmi, Muhammad Helmi Azman, Luth Harith Erwan

Pemandu Paling Meningkat: Brendan Paul, Adam Khalid, Oscar Ng

Penunggang Paling Meningkat: Ahmad Khan, Danial Syahmi Shahril

Atlet Permotoran Wanita Harapan Terbaik: Leona Chin, Geraldine Read, Siti Shahkirah Shahrul, Nurul Husna Nasharuddin, Gina Finanza

Atlet e-Permotoran Terbaik: Ady Rahimi, Taufiq Mohyin, Shahril Nindar, Ayman Aqeem, Kei Iskandar, Lee Fong Yow, Tom Goh, Angeline Lee, Fadhli Ishak, Faisal Ismail

Anugerah Pilihan Ramai: Nabil Jeffri, Jazeman Jaafar, Tengku Djan Ley, Keifli Othman, Farriz Fauzy, Hafizh Syahrin Abdullah, Azlan Shah Kamaruzaman, Zulfahmi Khairuddin, Khairul Idham Pawi, Adam Norrodin

Laporan Media Cetak Terbaik: Aizawati Ahmad (Utusan Malaysia), Lim Teik Huat (The Star), Sukhairi Thani (Berita Harian), Fadhli Ishak (New Straits Times), Muhammad Riduan Hanafiah

Jurukamera Terbaik: Mohd Luqman Nurhakim Mohd Zubir (New Straits Times), Khuzrat Omar Uyob (Hypertune and Shift Magazine), Nur Adibah Ahmad Izam (New Straits Times), Ahmad Iskandar Kamaruzaman (Bernama), Abdul Razak Abdul Latif (Kosmo), Riduan Rizal Ahmad (Utusan Malaysia)

Laporan Media Eletronik Terbaik: Hasnida Hanim-Aji Saregar (TV3), Hasnida Hanim-Abdul Rahman Kusaini (TV3), Fazli Berahim-Chow Vern Chun (RTM)

Berita Harian X