Sabtu, 23 Februari 2019 | 10:35pm
Pelumba Australia, Remy Gardner. - Ihsan Twitter Remy Gardner

Gardner puas hati ujian pramusim di Litar Jerez

KUALA LUMPUR: Pelumba Australia, Remy Gardner yang mewakili ONEXOX TKKR SAG Team berpuas hati dengan sesi ujian rasmi pra musim Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia di Litar Jerez, Sepanyol, yang berakhir semalam.

Gardner melengkapkan ujian rasmi itu pada kedudukan kesembilan sepanjang tiga hari, sekali gus tampak positif buat pasukannya menjelang perlumbaan musim ini.

Pelumba yang menunggang jentera Kalex mencatatkan 1 minit 41.378 saat itu secara keseluruhan bagi mengekalkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik.

"Saya amat gembira dengan jentera saya malah ujian itu juga bagus. Kami sudah melakukan beberapa penambahbaikan, pasukan bekerja dengan baik dan kami meningkatkan catatan masa sepusingan dari tahun lalu.

"Kami rasa lebih kuat dan gembira dengan Kalex. Saya tidak sabar untuk ujian seterusnya di Qatar ... saya tertarik untuk melihat bagaimana pelumba menyesuaikan diri dengan litar lain dan hasilnya nanti.

"Saya juga tidak sabar untuk memulakan ujian di Qatar dan melakukan persediaan untuk perlumbaan pertama. Terima kasih buat pasukan dan mekanik atas hasil kerja mereka," kata Gardner.

Brad Binder yang menunggang jentera KTM dari pasukan Red Bull KTM Ajo pula muncul pelumba terpantas selepas merekodkan kepantasan 1:40.982s.

Rakan sepasukan Gardner dari Jepun, Tetsuta Nagashima turut cemerlang apabila menghuni kedudukan ke-12 dengan kepantasan masa 1:41.417s.

Pasukan tempatan, TKKR Racing minggu lalu mengumumkan kerjasama dengan SAG Racing Team yang berpangkalan di Barcelona dan menerusi kolaborasi ini, kedua-dua pasukan bergerak di bawah satu nama iaitu ONEXOX TKKR SAG Team untuk saingan Moto2 dunia.

Pasukan ini dijadual menyertai Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) dan tugas berkenaan digalas dua pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Ramdan Rosli.

Sementara itu, Khairul Idham Pawi yang beraksi bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing menamatkan sesi ujian rasmi di kedudukan ke-29 secara keseluruhan, dengan catatan masa 1:42.729s.

Ujian seterusnya dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 1 hingga 3 Mac sebelum musim 2019 membuka tirainya di litar sama dari 8 hingga 10 Mac.

Berita Harian X