Selasa, 26 Februari 2019 | 11:50pm
GAMBAR fail, pelumba MotoGP, Fabio Quartararo (kiri) dan Franco Morbidelli pada Majlis Pelancaran Petronas Yamaha Sepang Racing Team di Menara Berkembar Petronas pada 28 Januari lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Razlan puas hati catatan Quartararo, Morbidelli

 

KUALA LUMPUR: Prinsipal pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Datuk Razlan Razali berpuashati dengan kemajuan dua pelumba pasukan itu - Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli pada ujian rasmi pra musim terakhir di Losail awal pagi tadi apabila berada dalam kelompok 10 terpantas. 

Pelumba muka baharu (rookie) dalam kelas MotoGP, Quartararo berada di tangga kedua terpantas untuk tiga hari sesi ujian keseluruhan manakala rakan sepasukannya, Morbidelli menduduki tangga ketujuh.

Quartararo, 19, mencatat 1 minit 54.441 saat pada sesi ketiga dan ketinggalan 0.233s di belakang pelumba terpantas bagi keseluruhan sesi ujian dari pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales (1:54.208s). 

Morbidelli mencatat masa terbaiknya, 1:54.660s untuk turut berada dalam kelompok 10 terbaik menjelang pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Dunia 2019 yang dijadual membuka tirainya di litar sama, 8 hingga 10 Mac ini. 

"Daripada segi keseluruhannya untuk tiga hari ujian terakhir di Doha, Qatar memang positif buat pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing," kata Razlan. "Kami juga tidak jangka yang Fabio (Quartararo) buat yang terbaik dan menduduki tangga kedua untuk ujian terakhir selain sentiasa berada dalam kelompok lima terbaik. 

"Kami juga berpuashati dengan usaha dilakukan Franco (Morbidelli) yang akhirnya berada dalam kelompok 10 terbaik ataupun berada di tangga ketujuh (keseluruhan sesi ujian di Losail). 

"Setakat ini, kami yakin untuk pusingan pertama minggu depan dan pasukan akan buat yang terbaik."

Pasukan negara yang beraksi dalam kelas Moto2 dan Moto3 - PETRONAS Sprinta Racing - dijadual menjalani ujian rasmi terakhir selama tiga hari di litar sama bermula Jumaat ini. 

Khairul Idham Pawi menggalas cabaran untuk kelas pertengahan Moto2 manakala John McPhee dan Ayumu Sasaki mewakili pasukan negara dalam kelas Moto3.

 

 

432 dibaca
Berita Harian X