Jumaat, 1 March 2019 | 11:48am
Chase Carey. - Foto Reuters

Liberty Media mula 'berjimat'

LONDON: Pasukan Formula Satu menerima kurang imbuhan daripada Liberty Media dua tahun berturut-turut meskipun pemegang hak komersil itu mencatat peningkatan pendapatan tahunan sebanyak 13 peratus seperti diumumkan dalam laporan tahunannya, semalam.

Jumlah bayaran kepada 10 pasukan F1 bagi musim 2018 merosot kepada AS$913 juta (RM3.7 bilion) berbanding AS$919 juta (RM3.8 bilion) pada 2017 dan AS$966 juta (RM3.9 bilion) pada 2016.

Meskipun pendapatan Liberty dilaporkan meningkat sebanyak AS$44 juta (RM180 juta) untuk raih pendapatan AS$1,827 juta (RM7.5 bilion) berbanding AS$1,783 juta (RM7.4 bilion) tahun sebelumnya dengan kos kerugian juga berkurangan dari AS$37 juta (RM151 juta) berbanding AS$68 juta (RM278 juta).

"Pendapatan perlumbaan meningkat dengan ketara disebabkan peningkatan yuran perlumbaan selaras dengan pindaan kontrak bagi setiap perlumbaan,” kata Liberty.

"Pindaan kontrak ini adalah penyumbang keuntungan utama F1.

"Keuntungan 2018 juga dipengaruhi oleh kalendar perlumbaan tanpa kehadiran Grand Prix Malaysia yang kemudian dijana oleh dua perlumbaan yang kembali ke Eropah iaitu di Perancis dan Jerman.”

Begitupin, Liberty yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mengumumkan kemerosotan pendapatan pengiklanan dan penajaan bagi keseluruhan musim berkenaan.

Pengerusinya, Chase Carey memberitahu penganalisis dalam satu persidangan bahawa pihaknya kekal berminat mengendalikan perlumbaan berprestij itu.

"Bagi musim 2019, hala tuju amat jelas, peningkatan kos dijangka reda dan kami juga menjangkakan perbelanjaan lain dapat dikurangkan.

"Kami kekal dengan komitmen mengembangkan lagi nilai perniagaan ini untuk jangka panjang untuk pasukan, rakan perniagaan, Formula Satu dan pemilik saham,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Liberty, Greg Maffei turut sependapat dengan bosnya itu. – Reuters

Berita Harian X