Ahad, 31 March 2019 | 1:13am
Dari kiri; Pemandu Jerman Ferrari, Sebastian Vettel (tempat kedua), pemandu Ferrari Monegasque, Charles Leclerc (kedudukan pertama) dan pemandu Mercedes Lewis Hamilton (di tempat ketiga) bergambar selepas sesi kelayakan di hadapan Grand Prix Bahrain Formula Satu di Litar Sakhir, Manam Bahrain. - Foto AFP

Leclerc rangkul petak pertama GP Bahrain

MANAMA: Pelumba baharu Ferrari, Charles Leclerc meraih petak utama pertamanya apabila memecahkan rekod sepusingan terpantas litar pada sesi kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain, malam tadi.

Pelumba muka baharu F1 berusia 21 tahun itu menjadi pemandu pertama dari Monaco merangkul petak utama di perlumbaan elit F1.

Leclerc memecahkan rekod terpantas Litar Antarabangsa Bahrain dengan catatan 1 minit  27.866 saat sekali gus mengatasi rekod yang dibuat rakan sepasukannya, Sebastian Vettel tahun lalu.

Vettel yang juga juara dunia empat kali menamatkan sesi kelayakan di posisi kedua yang menyaksikan Ferrari akan memulakan perlumbaan di petak pertama dan kedua.

“Dia layak mendapatkannya,” kata Vettel mengulas prestasi Leclerc.  

Leclerc yang 10 tahun lebih muda berbanding Vettel teruja dengan cabaran yang bakal dihadapinya.

“Ya, ayuh! Esok adalah perlumbaan dan ia menentukan sama ada kami akan mengumpul mata, tetapi ia permulaan yang bagus... Nampaknya seperti kami melakukan kerja yang bagus jadi saya amat gembira.”

Leclerc menjadi pelumba kedua paling muda dalam sejarah F1 meraih petak utama di belakang Vettel.

Pelumba Mercedes yang juga juara dunia lima kali, Lewis Hamilton akan memulakan perlumbaan di petak ketiga diikuti rakan sepasukannya yang juga pemenang GP Australia, Valtteri Bottas.

Pelumba Belanda, Max Verstappen akan memulakan perlumbaan di petak kelima bersama jentera Red Bull diikuti pelumba Haas, Kevin Magnussen. – AFP

 

 

448 dibaca
Berita Harian X