Rabu, 3 April 2019 | 12:33am
Kejuaraan FIM CEV Repsol. - Foto fim-europe.com
Kejuaraan FIM CEV Repsol. - Foto fim-europe.com

CEV Repsol, 8 pelumba kibar cabaran Malaysia

KUALA LUMPUR: Lapan pelumba negara bakal memulakan kempen baharu di Eropah dengan masing-masing mempunyai misi tersendiri pada perlumbaan Kejuaraan FIM CEV Repsol yang dijadual membuka tirai musim 2019 minggu ini di Sirkit Estoril, Portugal.

Kejuaraan CEV Repsol sering menjadi medan permulaan buat pelumba negara menimba pengalaman sebelum melangkah ke pentas Dunia dan antara yang pernah beraksi di sana adalah Hafizh Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin, Kasma Daniel Kasmayudin dan Ramdan Rosli.

Bagi musim 2019, Adam, Kasma dan Ramdan bakal kembali ke pentas yang pernah disertai mereka namun menyertai saingan berbeza iaitu Moto2.

Selain tiga nama ini, pelumba berpengalaman, Azlan Shah Kamaruzaman juga bakal menggalas cabaran dalam kelas itu.

Kali terakhir Adam menyertai saingan CEV Repsol adalah pada tahun 2015 dengan menyertai Moto3 remaja dan bagi kali ini, dia menggalas cabaran pasukan SIC Junior Team dalam saingan Moto2 yang bakal menjadi medan buat dirinya mempersiapkan diri ke saingan Moto2 di Kejuaraan Dunia pada masa akan datang.

Kasma juga mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan Moto3 remaja pada 2017 bakal bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior manakala Ramdan sudah mempunyai pengalaman selama dua tahun dalam kelas Moto2 di Eropah.

Kali ini, Ramdan bergandingan bersama bekas pelumba Moto2 di Kejuaraan Dunia Azlan Shah yang mempunyai profil selaku juara Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada 2013 dan 2017 dan pastinya ia bakal membantunya bagi usaha menaikkan nama pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing.

Selain empat pelumba ini, turut membawa nama negara adalah Muhammad Izam Ikmal dan Muhammad Idil Fitri Mahadi yang bakal menghangatkan litar dalam saingan Moto3 remaja bersama pasukan SIC Junior Team.

Dua lagi pelumba, Syarifuddin Azman dan Muhammad Harith Haziq menyertai perlumbaan ETC bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior.

 

 

Berita Harian X