Rabu, 3 April 2019 | 10:54pm
Gambar fail, Pelumba SIC Junior ZK Racing, Adam Norrodin ketika beraksi dalam Perlumbaan Satu Pusingan Satu SS600 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Luqman Hakim Zubir
Gambar fail, Pelumba SIC Junior ZK Racing, Adam Norrodin ketika beraksi dalam Perlumbaan Satu Pusingan Satu SS600 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Luqman Hakim Zubir

Cuaca bukan halangan Adam di Estoril

KUALA LUMPUR: Ramalan cuaca yang agak kurang baik di Estoril, Portugal pada minggu ini disifatkan sebagai satu cabaran buat pelumba negara, Adam Norrodin bagi mengharungi musim baharunya di saingan Moto2 Eropah dalam Kejuaraan FIM CEV Repsol (CEV).

Pelumba SIC Junior Team itu dijadual mengharungi pusingan pembuka tirai bagi musim 2019 di Sirkit Estoril bermula Jumaat ini dengan ramalan cuaca dilaporkan hujan dan angin kuat sehingga 39 kilometer sejam.

Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat bekas pelumba Moto3 yang dikenali sebagai 'Torete' itu untuk mengharungi musim baharunya di Eropah dan cabaran berkenaan diambilnya secara positif. 

"Ini kali pertama saya ke Estoril walaupun pernah beraksi di CEV sebelum ini," kata Adam yang kali terakhir beraksi di CEV pada tahun 2015 dalam saingan Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia kepada BH Sukan. 

"Ini trek yang baharu bagi saya dan pertama kali berlumba dengan menunggang jentera Moto2 (di Estoril). Kami akan cuba yang terbaik minggu ini selepas melakukan persiapan sebelum ini. Selain itu, sesi ujian di Jerez juga positif dan ia akan cuba dibawa ke minggu ini. 

"Ramalam cuaca nampak tidak begitu mengizinkan dan ia mungkin memberi lebih cabaran untuk minggu ini... dengan trek baharu, motosikal baharu dan cuaca yang kurang baik. 

"Apapun akan cuba yang terbaik untuk pusingan pertama ini, saya tidak meletakkan sasaran tinggi kerana saya perlu banyak belajar mengenali jentera baharu ini."

Selain Adam, turut menyertai saingan Moto2 adalah Kasma Daniel Kasmayudin yang akan bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior dan dua gandingan ONEXOX TKKR SAG Racing, Ramdan Rosli dan Azlan Shah Kamaruzaman. 

Selain empat pelumba ini, turut membawa nama negara adalah Muhammad Izam Ikmal dan Muhammad Idil Fitri Mahadi yang bakal menghangatkan litar dalam saingan Moto3 remaja dunia bersama pasukan SIC Junior Team. 

Dua lagi pelumba, Syarifuddin Azman dan Muhammad Harith Haziq menyertai perlumbaan ETC bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior.

Berita Harian X