Khamis, 4 April 2019 | 7:46pm
Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Ramdan Rosli. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Ramdan Rosli. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Ramdan, Azlan sedia 'gegar' Litar Estoril

KUALA LUMPUR: Pasukan ONEXOX TKKR SAG Team akan mengharungi cabaran di Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) dengan dua wakilnya, Ramdan Rosli dan Azlan Shah Kamaruzaman sudah tidak sabar menggegarkan Litar Estoril di Portugal bermula esok.

Perlumbaan Moto2 di CEV bukanlah asing buat Ramdan yang sebelum ini pernah menyertai saingan berkenaan selama dua tahun pada 2015 dan 2016 dan sebelum itu, dia juga pernah menyertai saingan Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia pada 2014.

Pada 2016, pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke-14 daripada 32 pelumba dengan mengutip 42 mata keseluruhan.

Bagaimanapun selepas tiga tahun meninggalkan pentas berkenaan, Ramdan percaya persaingan pastinya sudah berbeza dan hanya mahu memberi tumpuan untuk memperbaiki catatan masa sepusingan pada pusingan pembukaan kempen 2019 di Estoril nanti.

"Saya sudah bersedia untuk memulakan musim baharu ini," kata Ramdan yang berasal dari Klang, Selangor. "Saya mahu cuba mempertingkatkan catatan masa sepusingan (pada setiap sesi) dan sudah pasti kami sudah bersedia untuk mendapatkan keputusan yang terbaik."

Ramdan bergandingan bersama pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah yang meraih suntikan semangat berharga selepas memenangi Perlumbaan 1 dalam kelas Asian Superbike 1000cc di pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), awal Mac lalu.

Selain Ramdan dan Azlah Shah, turut menyertai saingan berkenaan adalah bekas pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin (SIC Junior Team) dan Kasma Daniel Kasmayudin (Dynavolt Intact SIC Junior).

Selain empat pelumba itu, turut menggalas cabaran negara adalah Muhammad Izam Ikmal dan Muhammad Idil Fitri Mahadi yang bakal menghangatkan litar dalam saingan  Moto3 remaja dunia bersama pasukan SIC Junior Team.

Dua lagi pelumba, Syarifuddin Azman dan Muhammad Harith Haziq menyertai perlumbaan ETC bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior.

Berita Harian X