Sabtu, 6 April 2019 | 12:52pm
Gambar fail, pelumba Dynavolt Intact SIC Junior, Kasma Daniel Kasmayudin. - Foto Zunnur Al Shafiq
Gambar fail, pelumba Dynavolt Intact SIC Junior, Kasma Daniel Kasmayudin. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kasma Daniel sasar lima terbaik

 

SEPANG: Kasma Daniel Kasmayudin meletak sasaran untuk berada dalam kelompok lima terbaik pada sesi kelayakan Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) yang dijadual berlangsung malam ini. 

Pelumba Dynavolt Intact SIC Junior yang berada di bawah Program Pembangunan Bakat Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) itu optimis untuk berada dalam kelompok berkenaan berdasarkan catatan sepusingan yang dilakukannya pada sesi latihan bebas di Sirkit Estoril. 

"Sasaran saya adalah untuk berada dalam kelompok lima terbaik dalam sesi kelayakan kerana sekiranya dibandingkan dengan catatan masa sepusingan saya dengan pelumba di CEV tahun lalu, saya mampu bersaing dengan kelompok lima ini. 

"Sekiranya saya mencapai sasaran pada sesi kelayakan nanti, saya akan pastikan untuk meraih penamat di podium untuk pusingan pertama ini," kata pelumba berusia 19 tahun ini. 

Sementara itu, bekas pelumba Moto3 negara Adam Norrodin yang bersama pasukan SIC Junior Team mempunyai tanggapan berbeza dengan hari pertama saingan pembuka tirai musim 2019 itu. 

"Untuk sesi latihan bebas 1 dan 2, bagi saya tidak begitu memuaskan daripada sudut prestasi termasuk juga keadaan cuaca di Estoril. 

"Hujan sepanjang masa. Apapun, catatan masa sepusingan saya tidak begitu jauh daripada pelumba lain. 

"Masih banyak ruang untuk peningkatan buat saya dan juga motosikal. Saya hanya berharap dapat melakukan catatan masa sepusingan yang lebih baik," katanya.

Berita Harian X