Selasa, 9 April 2019 | 9:55pm
BEKAS pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong (kiri) bersama Mitchell Cheah.

Mitchell permata baharu empat roda

KUALA LUMPUR: Pemandu sedang meningkat naik, Mitchell Cheah disifatkan sebagai 'permata negara' dalam sukan permotoran empat roda dengan mendapat sokongan padu daripada bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong.

Mitchell, yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Mac 1998, bakal mengharungi cabaran baharu dalam kariernya tahun ini - menyertai beberapa kejohanan di peringkat antarabangsa antaranya seperti ADAC TCR Germany Touring Car yang dijadual bermula pada 26 April ini. 

Malah, pemandu yang meraih gelaran naib juara di Siri TCR Asia tahun lalu itu juga bakal menyertai Piala Touring Car Dunia di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) pada Disember ini di atas tiket wild card. 

Pastinya, ia adalah satu penghargaan besar buat Mitchell dan segala usahanya itu disokong penuh Axle Motorsport - sebuah syarikat sukan permotoran yang diasaskan Alex dan pernah melahirkan serta membimbing bakat berharga seperti Daim Hishamudin, Weiron Tan, dan pemenang Indy 500, Alexander Rossi.

"Axle Motorsport juga bertanggungjawab untuk menguruskan pemandu, mendapatkan penaja, serta pembangunan bakat pelumba” kata pengasas Axle Motorsport, Alex dalam satu kenyataan. 

Dengan pengetahuan serta pengalaman dimiliki Alex, ia adalah satu peluang yang perlu direbut dan digunakan sebaiknya oleh bakat muda untuk lebih berjaya dalam sukan permotoran empat roda. 

Untuk rekod, Axle Motorsport akan mengambil bahagian untuk perlumbaan seperti Asian Formula Renault Series, Formula 4 China, Formula 4 SEA, dan ADAC TCR Kejuaraan Touring Car Jerman pada tahun ini.

“Di Axle Motosport, kami sangat komited untuk membimbing pemandu muda yang sedang meningkat naik. Terdapat ramai pelumba muda yang ada di negara ini, dengan pengurusan serta panduan yang disediakan, saya yakin bakat yang mereka ada tidak akan disia-siakan.

“Sebagai bekas pelumba Formula 1, saya sedia untuk berkongsi pengalaman serta ilmu yang dimiliki untuk membantu rakan senegara yang bercita-cita untuk menjadi seorang pelumba berjaya kelak. 

"Ianya tidak mudah, tetapi bagi kes Mitchell, saya begitu teruja melihat dedikasi serta komitmen yang ditunjukkan olehnya. Saya yakin dia akan berjaya serta mampu mengharumkan nama negara dimasa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Mitchell, 21, berkata: "Saya akan menyertai Touring Car Jerman tahun ini. Menjadi wakil tunggal dari Malaysia dan Asia, ia menaikkan lagi semangat serta motivasi saya untuk memberikan persembahan terbaik, lebih-lebih lagi apabila saya akan bersaing dengan pelumba dari Eropah. 

"Buat masa sekarang, saya sedang gigih mempersiapkan diri saya daripada segi mental dan fizikal sebelum memulakan musim perlumbaan yang baru nanti. Saya ingin berterima kasih kepada keluarga dan pihak Axle Motorsport yang sentiasa berdiri di belakang saya memberi sokongan dan memberi kepercayaan kepada saya. 

"Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini. Kami berusaha keras untuk sampai ke tahap ini dan saya dahagakan kejayaan serta sentiasa cuba untuk jadi yang terbaik. Saya cuba untuk menjadi salah seorang pelumba yang terbaik di dalam dan luar negara sekali gus mengharumkan nama Malaysia dimata dunia.”

Berita Harian X