Ahad, 14 April 2019 | 12:22am
Lewis Hamilton beraksi dalam sesi kelayakan Formula Satu Grand Prix China. - Foto EPA

Hamilton bergelut tetapi 'bangga'

SHANGHAI: Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton mengakui memulakan perlumbaan Formula Satu Grand Prix China di petak kedua, esok sebagai membanggakan selepas dia terpaksa ‘bergelut’ dengan jenteranya dalam usaha memburu petak utama.

Semalam, pelumba Britain itu mengakui tidak merasa begitu selesa bersama jenteranya di Litar Antarabangsa Shanghai dan gagal untuk menandingi kepantasan rakan sepasukannya, Valtteri Bottas pada sesi terakhir latihan bebas.

Penyandang juara dunia itu terus melakukan penambahbaikan terhadap jenteranya sepanjang sesi kelayakan, hari ini sebelum memperoleh apa yang diharapkan pada penghujung sesi kelayakan kedua.

Begitupun, ia masih tidak mampu memberikannya petak utama apabila dibezakan 0.023 saat dengan catatan yang dilakukan Bottas tetapi keputusan itu tetap memberikannya rasa bangga dan kelegaan.

“Saya bergelut dengan jentera sepanjang minggu ini, malah sehingga memasuki sesi kelayakan kedua. Tetapi saya melakukan beberapa perubahan dengan pelarasan terhadap tayar dan beberapa perubahan garisan dan berjaya untuk merapatkan jurang,” kata Hamilton.

“Sejujur-jujurnya, saya agak bangga dengan apa yang saya lakukan, memandangkan betapa jauh saya ketinggalan di awal sesi. 

“Saya melakukan eksperimen sepanjang sesi. Saya akhirnya memperoleh catatan terpantas sektor pada akhirnya, tetapi ia agak lewat. Tetapi ia masih bagus, semuanya adalah mengenai penambahbaikan.

“Saya bergelut dengan jentera saya jadi saya sentiasa bekerja keras. Ia jentera yang hebat pada tahun ini, tetapi saya fikir untuk beberapa perlumbaan awal, jentera baharu sentiasa memberi kesulitan. Kami akan dapat melihat ia berubah sedikit demi sedikit dan kamu akan lebih memahaminya.” - Agensi

326 dibaca
Berita Harian X